Berita Terkini
recent

Nyanyian As’ad Motawh di Instagram jadi viral

PERKEMBANGAN media sosial nyata memberi ruang terbaik buat penggunanya di dalam ekspresikan minat, misalnya di dalam muzik. Sekali gus, aplikasi sosial seperti Instagram (IG) menjadi platform buat individu kreatif ini untuk menzahirkan bakat yang ada.

Itulah dilakukan pendatang baru dalam dunia seni suara lokal, As’ad Ahmed Mohamed Motawh yang sebelum ini cukup aktif memuat naik barisan lagu-lagu cover versionnya di aplikasi sosial berkenaan.




Akui remaja berusia 16 tahun ini, video yang terhasil hanyalah suka-suka sahaja dan tidak lebih daripada hanya sekadar mengisi masa senggang.


Bagaimana pun, bintang muda yang menggunakan nama komersial As’ad Motawh ini jujur memberitahu, kecintaannya terhadap dunia nyanyian turut mendorongnya untuk terus aktif ‘menyanyi’ di IG.


“Awalnya, saya memang muat naik video nyanyian untuk suka-suka, sama ada menyanyi secara solo atau pun bersama rakan-rakan. Tapi tidak sangka pula, bila ada di antara lagu cover version yang saya nyanyikan mendapat perhatian ramai.

"Contoh lagu Despacito yang saya dendangkan mulai viral dan ditonton lebih dua juta kali di IG. Sejak itu segala-galanya berubah,” kata As’ad yang dipelawa label BeeGood Music untuk menjadi artis rakaman.

Kongsi As’ad, pelawaan yang diterima ibarat bulan jatuh ke riba, memandangkan dia sendiri turut menanam minat tinggi terhadap nyanyian.

“Bila mendapat pelawaan sedemikian, rasa macam mimpi pun ada, apatah lagi saya pun turut bercita-cita untuk merakam lagu secara profesional.

Jadi boleh dikatakan, impian sudah menjadi nyata. Terima kasih buat semua yang percaya dengan bakat dan kebolehan saya,” ujar As’ad rendah diri.

Senyum taruhan sulung

Berkongsi mengenai perjalanan kerjayanya ketika ini, bintang asal Kuala Lumpur ini sudah boleh melirik senyuman panjang apabila single sulungnya yang berjudul Senyum mendapat reaksi baik pencinta seni.

Malah, muzik video Senyum yang dimuat naik di YouTube sejak pertengahan Ogos lalu sudah pun mencecah lebih 4 juta tontonan. Angkat tersebut nyata membuka harapan besar  buat anak ketiga daripada empat beradik ini untuk mencipta reputasi baik di dalam nyanyian.

“Senyum merupakan lagu hasil ciptaan Wansaleh dan Fuadko. Kalau nak diikutkan, kekuatan lagu tersebut yang sarat dengan mesej positif menjadi antara faktor ia diterima ramai. Saya sendiri tak sangka populariti lagu itu naik mendadak.

"Saya anggap sebagai rezeki dan pastinya, bila sudah meraih perhatian sedemikian, saya perlu lakukan yang terbaik pada masa depan,” akui As’ad yang turut mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Juliza Adzlizan sejak sebulan lalu.

Menyifatkan maklum maklum balas positif yang diterima terhadap single sulung sebagai permulaan baik buatnya untuk mencari tapak dalam industri, As’ad menjelaskan kelas vokal yang diikutinya adalah sebagai tiket untuknya terus relevan dalam seni.

“Bagi saya, kelas vokal merupakan langkah terbaik untuk memastikan skil dan suara terus konsisten. Saya sendiri masih lagi baru dan banyak lagi perlu dipelajari, khasnya dari segi kawalan vokal dan sebagainya,” kongsi As’ad jujur.

Beri lebih 'warna'

Ditanya persepsinya terhadap persaingan di kalangan penyanyi seangkatan, pemuda yang dilahirkan pada 3 September 2001 ini tidak mahu melihatnya daripada sudut negatif.

Sebaliknya, As’ad optimis mahu terus berkarya selepas ini demi menghiburkan para peminat setianya.

“Saya bukan mahu bersaing atau nak tunjuk siapa yang bagus. Saya hadir dalam industri untuk memberi lebih ‘warna’ dan pada masa sama mahu hadiahkan sesuatu buat peminat yang selama ini mengikuti saya di media sosial. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik.

Malah, ada di antara kalangan penyanyi lain yang merupakan sahabat baik saya. Jadi memang tiada rasa nak bersaing. Kami sama-sama memeriahkan dunia seni saja,” terang As’ad yang menjadikan Justin Bieber, Shawn Mandes dan Michael Jackson sebagai sumber inspirasinya dalam seni.

“Saya minat dan kagumi mereka kerana masing-masing ada keunikan tersendiri. Lagu-lagu yang dibawa mereka juga catchy dan mampu menyanyi sambil menari dengan baik,” akhiri As’ad yang turut menambah, dia akan kembali ke studio penghujung tahun ini untuk merakamkan single kedua.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.