Berita Terkini
recent

Nita tidak mengalah

Jika nak diikutkan sudah tujuh tahun Nita Hamzah bergelar penyanyi.

Namun, nama penyanyi kelahiran program realiti Malaysian Idol musim kedua ini seolah-olah tenggelam berbanding artis lain.


Nita, 37, ketika ditemui, mengakui dirinya tidak sepopular rakan seperjuangannya lain.

“Saya memang jarang muncul dalam acara hiburan dan tidak banyak cerita mengenai saya dilaporkan media sejak kebelakangan ini.

“Tapi, saya masih memenuhi undangan persembahan untuk karnival dan pihak korporat cuma tiada publisiti.

“Sebagai penyanyi, saya tidak pernah berputus asa untuk terus mengukuhkan nama dalam bidang nyanyian,” katanya.

Nita berkata, dia bertuah kerana ibunya sentiasa menyokong minatnya dalam bidang nyanyian sejak dulu.

“Saya sangat meminati bidang nyanyian sejak berusia sembilan tahun. Ibu juga sentiasa membakar semangat supaya saya tidak pernah mengalah untuk terus menempa nama dalam bidang nyanyian.

“Saya yakin, berkat usaha dan kerja keras, rezeki akan berpihak kepada saya nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Versus 1001 Rasa Baba’s untuk siaran TV3 yang berlangsung di hotel terkemuka di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selepas sekian lama menyepi, Nita bakal muncul dengan single terbarunya berjudul Hadirlah Cinta, sekali gus untuk mengembalikan namanya dalam bidang nyanyian.

“Single genre pop ini masih dalam proses pembikinan. Ia ciptaan komposer Sharon Paul dan Iman Imran serta bakal dilancarkan hujung tahun ini,” katanya.

Dugaan bertunang

Nita sudah mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya, Mohd Fareez Shamsul Bahari, 29, pada Ogos lalu.

Menurut Nita, dia juga tidak terlepas melalui dugaan sepanjang bergelar tunangan orang itu.

“Kami pernah bertengkar sepanjang minggu kerana perkara kecil saja. Mungkin kerana saya yang terlebih sensitif tetapi setiap hari ada saja perkara yang nak dijadikan isu.

“Mujur ia tidak berlarutan dan setakat ini hubungan kami berjalan dengan baik walaupun perbezaan usia lapan tahun.

“Saya menghormatinya kerana sikap positif dan selalu memberi motivasi kepada saya membuatkan kami serasi,” katanya.

Mengenai tarikh pernikahan pula, Nita berkata, dia dan tunangnya belum menetapkan tarikh yang sesuai.

“Mengikut perancangan, kami ingin bernikah pada awal tahun depan iaitu pada Februari atau Mac.

“Semuanya masih dalam perbincangan termasuk lokasi untuk majlis pernikahan dan resepsi nanti,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.