Berita Terkini
recent

Nassier Yakin Boy Iman Jujur Mahu Bantu Masyarakat

Penyanyi, Datuk Nassier Wahab menyifatkan Datuk Boy Iman bersungguh-sungguh mahu membantu masyarakat memiliki rumah mampu milik menerusi syarikat perumahan miliknya, DBI Properties. Justeru beliau percaya isu mengenai dakwaan 'penipuan' syarikat berkenaan timbul kerana salah faham.

Lapor BH online, Nassier yang juga duta syarikat perumahan terbabit berkata, dia terkejut dengan berita tersebut namun tetap tenang kerana berdasarkan perbincangan bersama Boy sebelum ini, lelaki terbabit menyifatkan dakwaan itu sebagai satu fitnah.

"Saya baru pulang dari Makkah (selepas menunaikan haji), dua hari lalu. Sebelum ini, selepas timbul kekecohan mengenai 'penipuan' oleh DBI, saya terus menghubungi dirinya.

"Boy memberitahu, semua itu adalah fitnah dan meminta saya berdoa kepada Allah bagi membuka jalan terbaik buatnya. Cuma, saya gagal menghubunginya semalam dan saya terkejut apabila diberitahu dia ditahan pula.

"Bukannya mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi berdasarkan perbincangan kami sebelum ini, dia bersungguh-sungguh mahu membantu masyarakat yang ingin membeli rumah dengan harga mampu milik. Saya lihat Boy jujur mahu membantu orang," katanya.

Sedih dengan apa yang berlaku, Nassier berharap agar kes terbabit dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya rasa dia (Boy) berada di pihak yang benar. Sepanjang 15 tahun mengenalinya, saya tak pernah melihat dia menggunakan duit dengan cara salah. Saya percaya apa yang dia lakukan itu betul.

"Dia seorang yang bersungguh-sungguh dalam mengejar impian bergelar usahawan berjaya. Saya harap masyarakat tidak terus menuduh sehingga kebenaran itu muncul," tuturnya.

Semalam, Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman bersama dua lagi suspek utama ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Powered by Blogger.