Berita Terkini
recent

‘Nama ini identiti bangsa Melayu’

“SIAPA kata nama anak-anak saya pelik? Nama mereka tidak pelik, tetapi itulah nama yang melambangkan asal-usul kita orang Melayu,” kata Suhaimi Jizi, 52.

Menurutnya pemilihan nama enam anaknya selari identiti sebenar bangsa Melayu yang menjadi kebanggaan walaupun kedengaran pelik dan janggal.

Berkongsi hidup bersama Norziana Mohd Taib, 42,  anak sulung mereka yang berusia 17 tahun didaftarkan dengan nama Seri Mulia Nadi.



Suhaimi memilih nama yang membawa identiti bangsa Melayu untuk anak-anaknya.
Manakala anak keduanya Jaka Perkasa, 15, dan disusuli empat lagi dengan nama unik iaitu Jaka Mangku Buana, 13, Jaka Panji Alam, 12, Seri Jannah Mulia, 10 serta Seri Indah Mulia, 3.

Kali pertama dengar nama tersebut sudah tentu menganggapnya pelik dan ada segelintir menyangka mereka berasal dari Indonesia.

Suhaimi berkata, tiada yang pelik sebenarnya, tetapi anak-anaknya dinamakan dengan nama Melayu dan tidak mempunyai unsur atau pengaruh Arab seperti kebanyakan orang.

Menurutnya, jika dikaji dan dinilai nama anak-anaknya melambangkan kesenian Melayu dan itu adalah usahanya untuk mengangkat tinggi nilainya bahasa ibunda serta asal-usul keturunan.

“Nama anak-anak saya tidak Nur, Muhammad atau yang berunsurkan Arab kerana saya mahu mereka membawa nama Melayu dan melambangkan asal-usul kita.

“Contoh Muhammad berasal dari Arab dan bermaksud yang terpuji, tetapi nama anak-anak saja maksudnya sudah jelas menggunakan perkataan Melayu.

“Saya namakan 'Seri' bermaksud yang berseri, Jaka merujuk kepada 'Jejaka' dan itu semua adalah nama Melayu asli.

"Manakala bagi perkataan Perkasa, Indah dan Mulia, saya mahukan mereka berperwatakan seperti nama diberi," katanya yang kini menetap di Dungun, Terengganu.

Suhaimi berkata, bagi sesetengah orang nama tidak penting, ada kata tiada apa dengan nama, tetapi dia mahu anak-anaknya bersikap seperti namanya juga.

Menurutnya, orang tua selalu berpesan kena jaga nama dan sebab itulah Suhaimi cuba terapkan kerana anak-anaknya perlu bawa watak seperti nama diberi.


Jaka Perkasa bangga dengan nama unik yang dimiliki.
“Nama-nama yang dipilih adalah harapan saya terhadap anak-anak supaya mereka berkelakuan dan membawa watak seperti keindahan nama mereka,” katanya.

Katanya, kerana nama anak unik, dia berdepan beberapa insiden yang lucu dan menjadi perhatian.

“Setiap kali mahu daftar nama anak memang mereka akan bertanya dua kali untuk kepastian. Kawan-kawan juga terpegun apabila mendengar nama anak-anak saya dan mereka akan bertanya kenapa?

“Jawapannya sama iaitu saya mahukan anak saya dinamakan dengan perkataan hebat dalam bahasa Melayu yang secara tidak langsung martabatkan bangsa kita,” katanya.

Jadi pembuka rezeki

Walaupun lain dari yang lain, nama-nama yang dipilih sebenarnya membawa tuah untuk anak-anak serta dirinya sendiri.

Menurutnya, anak-anaknya sentiasa jadi perhatian dan guru pun memang mengenali mereka serta mahu bertanya kenapa namanya saya begitu.

Nama anak-anaknya bukan sahaja sebagai harapan untuk sikap dan budi pekerti yang baik, tetapi turut menjadi pembuka rezeki.

“Saya ada berniaga di Instagram menjual telekung menggunakan nama Telekung Seri.

“Telekung Seri Nadi, Jannah dan Indah adalah diambil sempena nama anak-anak perempuan saya.

“Telekung Seri adalah untuk mereka dan diharapkan membawa tuah dan rezeki untuk keluarga kami.

“Bukan sekadar nama, tetapi besar harapan saya nama yang diberi dapat diterjemahkan maksud oleh anak-anak saya,” katanya.

Nama jadi kebanggaan

Manakala anak keduanya, Jaka Perkasa  yang juga pelajar SMK Pulau Serai, berkata, dia tidak pernah berasa rendah diri atau menjadi bahan ejekan kerana namanya yang agak luar biasa, sebaliknya nama diberi menjadi kebanggaan.

Menurutnya, dia bangga dengan nama ini, tetapi satu cabaran dan doa juga untuknya membawa perwatakan seperti maksud nama.

“Dekat sekolah rakan-rakan panggil saya 'Jaka', begitu juga adik-adik saya mesra dengan panggilan 'Jaka'.

"Kami tidak rasa janggal walaupun selalu menjadi perhatian apabila rakan-rakan dan guru ingin tahu maksud di sebalik nama.

Jaka berkata, setakat ini nama mereka adik-beradik memang unik dan sukar ditemui.

“Alhamdulillah, kami berterima kasih kepada ibu bapa kerana memberi nama yang tinggi nilainya dan kami akan berusaha  menjadi seperti maksud nama diberi,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.