Berita Terkini
recent

Nadiya Nisaa idam watak ahli sukan

MENGIDAMKAN karakter ahli sukan, Nadiya Nisaa bagaimanapun bersyukur apabila berpeluang menghidupkan watak sebagai guru yang aktif bersukan menerusi sitkom Oh My English! Level Up.

Menerusi sitkom itu, pelakon berusia 32 tahun itu memegang karakter Cikgu Rozita @ Jojie iaitu guru Pendidikan Jasmani di SMK Ayer Dalam.




“Sebenarnya, kalau ditanya watak saya idam selama bergelar pelakon, saya idamkan watak seorang atlet.


“Tapi, sampai hari ini masih belum ada tawaran. Jadi bila dapat tawaran berlakon dalam sitkom ini dan karakter saya pula sebagai guru sukan, saya sangat excited,” katanya pada Media Hiburan.

Jelasnya, watak atlet sangat menarik untuk dibawakan selain mampu memberi banyak kelebihan kepada pelakon.

“Biasanya, banyak filem Hollywood dan dari negara lain yang menonjolkan kisah ahli sukan pasti mendapat perhatian penonton.

“Disebabkan itulah saya teringin watak sebegini, namun sehingga sekarang belum ada rezeki.

“Jika diberi peluang, saya sanggup menjalani latihan yang ketat dan tak akan mengeluh,” katanya.

Pada masa sama, pelakon filem Redha ini mengakui seronok menjalani penggambaran sitkom itu kerana melalui persekitaran yang berbeza.

“Cikgu Jojie ini seorang yang lantang, over dan memang sentiasa teruja serta bersemangat tinggi lebih-lebih setiap kali membuat aktiviti bersukan di sekolah.

“Oleh itu, watak saya memerlukan tenaga yang banyak ketika berlakon. Walaupun penat sedikit, tapi saya seronok kerana suasana di set penggambaran yang selalu ceria.

“Lagipun, saya juga dikelilingi pelakon remaja dan apabila saya bergaul dengan mereka secara tidak langsung mencungkil sifat keanak-anakan dalam diri saya (ketawa),” katanya.

Secara tidak langsung, katanya, karakternya itu juga membantu mengurangkan tekanan lantaran kerap ditawarkan dengan watak yang lebih serius dan berat.

“Saya memang jarang ditawarkan watak seperti ini kerana kebanyakannya watak berat. Jadi sekurang-kurangnya, ia juga boleh hilangkan tekanan,” katanya.

Selain Nadiya, Oh My English! Level Up turut membariskan pelakon berbakat seperti Adibah Noor, Carmen Soo, Sherry Al-Hadad, Tauke (Raja Lawak), Fimie Don dan  Haris Alif

Ia disiar setiap Ahad jam 6.30 petang di Astro TVIQ (saluran 160) dan Astro Maya HD (saluran 135) mulai 1 Oktober lalu.
Powered by Blogger.