Berita Terkini
recent

Muzikal Ola Bola bakal beraksi di Istana Budaya

PRODUKSI Enfiniti, milik Datin Seri Tiara Jacquelina baru sahaja mengumumkan barisan pelakon utama yang memainkan peranan sebagai pasukan Harimau Malaya dan Drill Sarjan Ahmad dalam Muzikal Ola Bola melalui Konsert Akademi Fantasia Megastar, yang bersiaran secara langsung di Shah Alam Royal Theatre Ahad lalu.

Peminat filem OlaBola yang pernah mencetuskan fenomena pada 2016 pastinya tidak sabar untuk menyaksikan Luqman Hafidz dan Lim Jian Wen kembali beraksi sebagai Ahmad Ali dan Ong Tiam Cai.




Menariknya kali ini, watak-watak ini bakal muncul di pentas Muzikal Ola Bola yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 8 Februari 2018 akan datang.


Turut membintangi pementasan ini ialah Brian Chan sebagai Chow Kwok Keong atau Tauke, Abimanyu Masilamani sebagai Muthu Kumar dan Kai Chalmers sebagai Eric Yong di mana  masing-masing merupakan pelakon yang tidak asing lagi di pentas teater.


Sementara itu, Altimet pula bakal muncul sebagai penampilan istimewa dalam Muzikal Ola Bola ini dengan membawa watak Drill Sarjan Ahmad.

Keenam-enam pelakon ini adalah antara 40 orang pelakon yang bakal membarisi pementasan muzikal ini menerusi pemilihan yang dibuat daripada 300 orang yang hadir pada sesi uji bakat yang berlangsung pada hujung Ogos lalu di mana ia merupakan rekod kehadiran uji bakat pelakon teater yang paling ramai pernah diadakan.

Selain itu, Altimet juga berperanan sebagai pencipta lagu bersama Mia Palencia untuk Muzikal Ola Bola yang bertajuk Luar Biasa, turut diperdengarkan buat pertama kalinya di Konsert Akademi Fantasia Megastar oleh keenam-enam pelakon utama tersebut.

Lagu ini juga sudah mula diputarkan di radio ERA FM mulai 9 Oktober 2017 lalu dan diikuti stesen radio lain mulai 10 Oktober 2017.

Setelah tiga dekad bergelar penggiat seni dan pelakon, pendukung seni persembahan tempatan dan penerbit yang berjaya, Tiara Jacquelina buat julung kalinya akan mencurahkan bakat dan pengalaman beliau dengan duduk sebagai pengarah Muzikal OlaBola.

Lebih istimewa, muzikal ini telah diberi penghormatan sebagai persembahan pembukaan Istana Budaya bagi tahun 2018, iaitu bermula pada 8 Februari hingga 11 Mac 2018.

Sementara itu, Enfiniti akan mengumumkan barisan penuh pelakon-pelakon muzikal ini bulan depan. Manakala jualan tiket pula akan bermula pada pertengahan Oktober 2017 ini.
Powered by Blogger.