Berita Terkini
recent

‘Mother!’ Penuh Simbolik, Provokatif Dan Kontroversi

ADA seorang teman bertanya kepada penulis sama ada sudah menonton filem baharu arahan bekas calon Oscar, Darren Aronofsky berjudul mother! yang memulakan tayangannya minggu lalu.

Lalu penulis menjawab pastinya sudah kerana sebagai peminat karya Aronofsky, penulis tidak mahu ketinggalan menonton setiap filem yang dihasilkan oleh sutradara berusia 48 tahun itu.

Sementelah, penulis cukup mengagumi karya beliau yang penulis sifatkan sebagai esentrik, penuh falsafah dan penggunaan simbolisme dalam menterjemahkan sesuatu yang di luar kotak fikiran.
Ditambah pula, mother! ditunjangi oleh dua bekas pemenang Oscar, Jennifer Lawrence dan Javier Bardem selain dua bekas calon Oscar iaitu Michelle Pfeiffer dan Ed Harris lalu secara luarannya, mother! dilihat sebagai sebuah karya hebat.

Dalam erti kata lain, setiap karya Aronofsky memiliki nilai estetika tersendiri lalu meletakkan beliau sebagai seorang auteur yang dikagumi dan antara yang terbaik sejak beliau mengarahkan filem cereka pertamanya, Pi pada tahun 1998.

Jika ditanya kepada penulis apakah filem kegemaran yang dihasilkan Aronofsky, jawapannya adalah Black Swan (2010), The Fountain (2006) dan Requiem for a Dream (2000).

Berbalik kepada filem mother!, ia telah mendapat perhatian meluas di Hollywood dan sinema di seluruh dunia sehingga menjadi satu perdebatan hebat tentang karya Aronofsky kali ini.

Penulis bimbang juga seandainya mother! diharamkan tayangannya di sini memandangkan ada beberapa filem Aronofsky tidak berjaya dipertontonkan kepada rakyat Malaysia.

Filem baharunya ini telah mendapat kritikan pelbagai sehingga ada yang begitu ekstrem mengatakan mother! adalah petanda bahawa Aronofsky sudah kehilangan magisnya sebagai seorang auteur.
Akan tetapi, setiap individu memiliki pandangan tersendiri terhadap setiap filem yang mereka tonton dan tidak semua mempunyai citarasa yang sama.

Penulis yang sudah menonton mother! berpendapat filem ini mengenengahkan tema yang cukup berat dan sarat dengan falsafah hidup yang tidak termampu terjangkau oleh akal manusia.
Dalam erti kata lain, jika anda tidak cukup ilmu, anda tidak akan berpeluang untuk mendalami isi kandungannya dan mungkin untuk berdebat dengan mereka yang lain terhadap subjek yang diutarakan.

Begitu juga untuk anda yang hanya sekadar mahu menonton filem ini sebagai satu eskapisme daripada dunia realiti anda, penulis nasihatkan mother! juga bukan untuk anda.

Silap hari bulan, anda yang keletihan akan bertambah letih dan penat menonton mother! lalu akan keluar dari panggung tidak sampai setengah jam filem ditayangkan (seperti mana penulis nampak tempoh hari sewaktu menontonnya).

Senang cakap, mother! memang akan menjadi pilihan pakar filem dan ahli akademik sebagai bahan kajian untuk menghuraikan maksud tersurat dan tersiratnya secara mendalam.
image:

Penulis tidak mahu mengupas dan mengulas lanjut tentang intipati mother! kerana ia boleh menjurus kepada provokasi dan kontroversi.

Sebaliknya, penulis lebih selesa untuk menggambarkan filem ini secara umum dan apa yang boleh dikatakan adalah mother! merupakan satu perlambangan atau simbol kepada alam semesta itu sendiri.
Perhubungan antara Mother (lakonan Lawrence) dan Him (Bardem) itu sendiri merujuk kepada hubungan antara manusia dan Sang Pencipta serta tanggungjawab mahupun amanah seorang manusia di muka bumi.

Kehadiran seorang lelaki (Harris) dan wanita misteri (Pfeiffer) pula digambarkan sebagai Adam dan Eve (merujuk kepada fahaman agama lain) yang memiliki simbolisme tersendiri terutama apabila kedua-dua anak mereka datang mengejut ke kediaman Mother dan Him sehinggalah salah seorangnya terbunuh.

Satu demi satu insiden yang berlaku sehingga menyebabkan Mother sendiri keliru dan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi dalam kehidupannya. Semuanya semakin tidak masuk akal buat Mother sehinggalah Him menjalankan tugas hakikinya.

Garapan cerita dan lakon layarnya masih lagi mengekalkan cara Aronofky dengan sentuhan thriller yang membuatkan penonton peka untuk mengetahui apa yang bakal berlaku seterusnya.
image:

Dalam satu aspek lain, seperkara yang wajar dipuji apabila nilai estetika mother! berjaya mengekalkan mood filem itu yang gelap, kelam dan penuh misteri sehingga mampu membuatkan penonton berasa resah, gelisah dan tidak senang duduk.

Malah, penataan seni mother! yang dihasilkan sebegitu juga mempunyai maksud tersurat dan tersirat dalam menterjemahkan intipatinya kepada penonton.

Lakonan Lawrence berhak mendapat pujian memandangkan lakonannya berfokus, penuh emosi dan mengekalkan momentumnya sehingga akhir. Mungkin agak sukar untuk Lawrence membolosi senarai pencalonan Oscar tahun depan tetapi dia sudah berjaya memantapkan resumenya sebagai seorang aktres.

Penulis juga sukakan lakonan Pfeiffer yang penulis sifatkan telah berjaya mencuri momen dalam babak-babak tertentu dengan lakonan bersahaja, namun penuh sensual dan tarikan sendiri.

Jujurnya, mother! tidak termasuk dalam filem pilihan penulis tetapi cara Aronofsky yang mahu mencabar minda penonton itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Bukan mudah dan tidak selalu filem seperti ini dihasilkan.

Sekali lagi, buruk atau baiknya sesebuah filem itu, adalah bergantung kepada perspektif seseorang itu sendiri bagaimana dia membaca filem itu tatkala menontonnya.

Powered by Blogger.