Berita Terkini
recent

Misteri bakal terungkai

Pada episod penamat musim ketujuh lalu, penonton siri The Walking Dead ditinggalkan dengan rasa ingin tahu bagaimana agaknya nasib Negan lakonan Jeffrey Dean Morgan.

Menjadi ketua kepada koloni dinamakan Savior, Negan mencetuskan kemarahan dan dendam kepada ramai orang disebabkan dengan pemerintahan kuku besinya.

Apalagi, dia sendiri tidak pernah terbit sekelumit rasa kasihan dan bebas membunuh sesiapa pun.

Koloni lain ternyata tidak mampu lagi berkompromi dengannya termasuklah Rick (Andrew Lincoln) yang tidak mampu membendung kemarahannya.

Tindakan Negan sudah melampau batas dan dia perlu disingkirkan.

Memasuki musim kelapan, episod pertama yang juga episod ke-100 secara keseluruhannya mula ditayangkan di FOX HD (Astro 724), setiap Isnin, jam 9 malam bermula 23 Oktober lalu.

Persoalannya, sama ada Negan mati atau tidak bukanlah kunci utama kepada musim terbaru siri ini.

Ternyata musim ini ada sisi lain bakal dirungkai berikutan beberapa pembayang diberikan pada episod berkenaan.

Walaupun misi untuk membunuh Negan jauh lebih penting, tetapi nasib karakter lain juga masih jadi perhatian terutama koloni di Alexandria yang tidak tahu bagaimana nasib mereka pada masa depan.

Ketika babak Carl (Chandler Riggs) merayau-rayau di sebuah stesen minyak misalnya, dia dipertemukan dengan seorang lelaki tidak dikenali dan belum sempat berbuat apa-apa, bapanya Rick terlebih dahulu mematikan niatnya.

Siapakah lelaki itu? Dia boleh menjadi sesiapa juga baik dari koloni tidak dikenali mahupun berkemungkinan mata-mata Negan.

Melihat daripada lagaknya, seolah-olah dia hidup sendirian dan jelas kelihatan sangat ketakutan.

Begitu juga dengan babak masa depan yang sedang dinikmati Rick bersama keluarganya. Mereka kelihatan cukup bahagia, apapun bayangan itu cukup misteri sama ada ia benar-benar akan terjadi ataupun sekadar ilusi.

Mana tidaknya, setiap kali babak itu menjelma ia pasti diselangi dengan babak di mana Rick kelihatan seakan-akan putus harapan.

Hanya menunjukkan ekspresi wajahnya, dia seakan baru kehilangan semua yang dia ada.

Bagaimanapun, ketegangan nampaknya tidak pernah berkesudahan di mana kali ini perjuangan mereka kerap diselangi dengan keraguan.

Tidak terkecuali, berlaku khianat dalam kalangan mereka apabila sikap pentingkan diri lebih menguasai.

Menariknya musim baru ini ialah ia seakan mengambil semula ingatan penonton kepada episod awal-awal dulu.

Beberapa kelibat zombi yang kelihatan adalah sebenarnya zombi sama daripada episod terdahulu.

Contohnya zombi lelaki yang mempunyai kesan renjatan elektrik dan diikat pada pokok. Zombi berkenaan pernah mengejar Rick dari sebuah bas dalam musim terawal dulu.

Masih terlalu awal, mungkin belum tiba masa lagi untuk menjadikan situasi lebih genting sebagaimana sebelum ini. Selain daripada menentang dan menyingkirkan Negan, setiap koloni masih perlu menjaga kawasan masing-masing.

Ancaman sebenar kini bukan lagi zombi semata-mata kerana setiap manusia yang masih hidup ternyata masing-masing licik. Dalam pada bersatu hati, bukan semua mampu menahan diri untuk setia.

Setiap gerak-geri jadi ukuran dan sedikit syak wasangka boleh menjadi sumber kebinasaan terhadap sesiapa pun. Malah, Rick sendiri meminta bantuan daripada koloni Hilltop dan Kingdom yang dia sendiri tidak rapat dengan mereka.

Dalam ketegangan yang semakin menjadi-jadi, sesiapa juga boleh berpaling tadah sekelip mata.

Walaupun dalam beberapa musim, pelbagai sudut berbeza elemen sudah disuntik sebagai kejutan, pastinya masih banyak lagi boleh dikembangkan dalam siri berkenaan.

Semakin banyak karakter yang hadir, tentu sekali cerita demi cerita berbeza akan ditampilkan dan bukan sekadar berfokuskan kepada koloni sedia ada.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.