Berita Terkini
recent

Miera Leyana rindu berlakon teater

BOSAN berlakon di layar skrin, Miera Leyana mencabar diri menerima tawaran teater, Kontena 404. Selain mahu tampil berbeza, karya arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman itu juga mengetengahkan genre komedi.

“Sebenarnya, saya dah lama tak berlakon teater. Kali terakhir melalui naskhah Tun Siti Hasmah bagi menggantikan tempat Lisa Surihani,” katanya kepada Media Hiburan.

Teruja kembali ke pentas teater, pelakon berusia 24 tahun ini  menggalas watak Aishah dan memerlukannya bekerjasama dengan pelawak, Tauke Jambu.


Bagaimanapun, kata Miera, dia senang bekerja dengan Tauke walaupun ada kalanya sukar dijangka kerana suka membuat lawak.


Kongsi Miera lagi, walaupun bukan teater muzikal, namun ada babak yang memerlukannya menari dan menyanyi.

“Raja Azrey bersikap terbuka bahkan sedia mendengar pendapat sekali gus memudahkan saya menghayati karakter.

“Semua itu, saya  anggap bertujuan menguji tahap keupayaan saya sebagai pelakon,” katanya.

Selain Miera dan Tauke, teater yang bakal dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 22 Oktober depan  itu dibintangi Izreen Azminda, Adam AF dan Rani Kulop

Pada masa sama, Miera mengakui terkilan apabila ada segelintir masyarakat dengan rakus menghukum kru produksi dan merancang memboikot pementasan itu kerana diterbitkan oleh DBI Entertainment Sdn Bhd, anak syarikat DBI Properties milik Datuk Boy Iman.

“Memang sedih bila ada yang terlalu ekstrem mahu memboikot teater ini. Apa salah kami? Kami (pelakon) sudah berusaha berikan yang terbaik demi teater ini.Kami pun hanya jalankan tugas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Miera bakal muncul dalam beberapa drama bersiri seperti Detik Cinta Stateskop dan Hola Hermosa di RTM.

Selain itu, pelakon Memori Cinta Suraya ini tidak sabar menunggu telefilem pertama arahannya, Lai Lai Li Tam Plom bermain di kaca televisyen.

“Awalnya, saya tak yakin untuk mengarah tapi penerbitnya, Mohd Noor Kadir beri kepercayaan dan semangat, jadi saya terimanya sebagai cabaran.

“Lagipun, saya tak keseorangan kerana saya mengarah dengan Aliff iaitu anak Mohd Noor,” katanya.
Powered by Blogger.