Berita Terkini
recent

Midnight Fusic pertaruh alternatif indie

Dalam pada industri meriah dengan kemunculan artis baru, sebuah band dinamakan Midnight Fusic hadir dengan corak perjuangan tersendiri.

Cukup menitikberatkan identiti, band dianggotai empat remaja berusia 17 tahun itu berharap muzik mereka membuka mata pendengar tempatan. Mempertaruhkan genre alternatif indie, nyata ia satu percaturan besar buat mereka.

Dianggotai Arif Kamarudin (vokal), Adrian Danial (gitar utama), Firdaus Azmi (gitar bes) dan Muaz Rabbani (dram), band ini yakin genre itu ada pengikut yang ramai.

“Kami baru melancarkan single Heart of May dan sambutannya sangat memberangsangkan. Reaksi yang diberikan juga positif dan kami lega kerana muzik sebegini diterima baik.

“Meskipun jumlah tontonan masih tidak banyak mana, kami berpuas hati kerana pendengar menyukainya. Komen mereka menjadi pemangkin semangat kami untuk meneruskan perjuangan ini,” kata Arif.

Bernaung di bawah label Sony Music Malaysia, Arif mengakui ia rezeki tidak dijangka apatah lagi mereka baru ditubuhkan tahun lalu.

“Kalau ikutkan, Midnight Fusic sudah bergerak sejak 2013 namun sewaktu itu kami masih belum lengkap sebagai satu band. Dalam tempoh itu, kami banyak menyanyikan lagu orang lain di YouTube. Lagi pun hanya ada saya dan Adrian.

“Band ini hanya lengkap selepas kami bertemu Firdaus dan Muaz. Sejak itu kami mula menghasilkan karya sendiri.

“Pada November tahun lalu, kami mendapat panggilan daripada pihak Sony Music Malaysia. Tidak sangka label ini menyukai muzik kami,” katanya.

Mempertaruhkan karya Inggeris, terselit rasa risau di hati apatah lagi pasaran tempatan agak terhad. Bagaimanapun mereka percaya perjuangan yang ikhlas pasti membuahkan hasil.

“Strategi kami adalah dengan menghasilkan lagu mesra telinga. Biarpun mempertaruhkan alternatif indie, kami pastikan ia mudah dinikmati pendengar dan sentiasa meminta pandangan orang sekeliling.

“Niat utama kami adalah mahu berkongsi mesej dan pandangan kami ke seluruh dunia. Oleh itu, kami memberikan sepenuh komitmen,” kata Arif.

Banyak dipengaruhi muzik era 80-an termasuklah daripada band Earth, Wind & Fire, dan The Smiths, idea lagu Midnight Fusic datang secara semulajadi. Mereka mengambil pendekatan untuk tampil dengan melodi serta lirik secara spontan.

“Boleh dikatakan, setiap minggu kami berkumpul sekurang-kurannya sekali. Ada sahaja idea baru yang kami curahkan dan jadikan panduan menghasilkan lagu baru.

“Kami tiada formula tertentu untuk buat lagu tetapi lebih suka idea itu berkembang sewaktu mengadakan sesi ‘jamming’. Daripada situ kami akan betukar pendapat dan membuat sebarang penambahan untuk memastikan ia lebih sedap didengar,” kata Arif.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa hari lagi, kesemua mereka bertuah kerana mendapat sokongan penuh keluarga. Bahkan, mereka tidak berhadapan masalah membahagikan masa dengan pelajaran dan muzik.

“Kami berani melakukan ini pun disebabkan sokongan keluarga. Tidak bermakna kami tidak serius dalam pelajaran tetapi sejujurnya tidak susah untuk seimbangkan kedua-duanya,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.