Berita Terkini
recent

Mat Dan nak jadi pelakon pula

PENGACARA televisyen Mat Dan atau nama sebenarnya Kareef Daniel Abdullah, 27, kini berjinak-jinak dengan dunia lakonan bermula dengan satu filem pendek yang kini dalam penggambaran.

Anak kelahiran Bristol, England yang diberi nama Daniel Tyler sebelum memeluk Islam itu berkata, penggambaran filem itu baru bermula minggu lalu.

“Saya baru terbabit dalam lakonan sebuah filem pendek sebab saya hendak ceburkan diri dalam bidang lakonan pula,” katanya kepada Bernama.

Anak muda itu mula terkenal di negara ini selepas video kefasihan beliau bercakap dalam bahasa Melayu loghat Terengganu tular.

Beliau yang tinggal di Malaysia sejak lapan tahun lalu ketika berusia 19 tahun dan bertemu jodoh dengan gadis Terengganu tahun ini, turut aktif sebagai hos program stesen televisyen berbayar Astro.

Pengacara program “Mat Dan Kaki Jalan” yang membawa penonton mengembara ke 13 destinasi menarik di negara ini dan travelog “Haramain Backpackers” bersama PU Amin turut terbabit dalam perniagaan produk gel rambut atau pomade dengan jenama ‘J.Tac by Mat Dan’.

"Jenama pomade ini bersempena ayat ‘semat jetak’ dalam loghat Terengganu yang bermaksud ‘sangat segak,” katanya.

Mat Dan turut berkongsi impiannya untuk menjadi usahawan ‘budu hipster’.

"Dulu masa mula-mula jadi selebriti saya memang terfikir untuk buat produk berasaskan budu tapi hanya sekarang baru kita nak mula buat budu hispter," katanya tanpa menjelaskan maksud budu hipster.
Powered by Blogger.