Berita Terkini
recent

Maskot rasmi Astro Ceria tidak lagi bersendirian

PROJEK pencarian kawan-kawan Cheek-e menerusi Pertandingan Cipta Kawan Cheek-e! yang berlangsung dari 8 hingga 21 Mei 2017 lalu kini berakhir dengan kehadiran empat maskot baharu iaitu Ivy, Teeny, Tydee dan Zanee, menemani Cheek-e, sekaligus melengkapkan barisan maskot rasmi Astro Ceria.

Secara rasminya, penonton dapat melihat penampilan kelima-lima maskot tersebut secara eksklusif di saluran yang didedikasikan khas untuk kanak-kanak, Astro Ceria di saluran 611.




Menggelar diri mereka Cheek-e’s Buddies, kehadiran Cheek-e dan rakan-rakannya turut menjadi simbol kebanggaan saluran Astro Ceria yang telah menghiasi dunia kanak-kanak sejak sepuluh tahun lalu.


Sementara itu, empat pencipta kawan-kawan Cheek-e merangkap pemenang tempat pertama pertandingan tersebut ialah Song Joe Han, 12, pelajar dari SJK (C) Kwang Hwa Sungai Nibong yang mencipta maskot Ivy dan Nurul Hannah Najihah Mohamad Kamal, 12, dari SK Taman Mutiara Rini (Kluster Kecemerlangan) yang mencipta maskot Teeny.


Manakala Lim Jing Xiang, 12, dari SJK (C) Kwang Hwa Sungai Nibong pula mencipta maskot ‘Tydee’ dan Wan Mohamad Khairul Asyraf Wan Ahmad, 13, dari SMK Sultan Ibrahim Satu berbangga kerana dapat mencipta maskot ‘Zanee’.

Setiap daripada mereka membawa pulang hadiah utama, Samsung Galaxy Tab A 8.0 with S-Pen 16GB LTE Original dan sijil penghargaan.

Mengulas mengenai projek pencarian kawan-kawan untuk Cheek-e, Pengurus Saluran Astro Ceria, Marissa Hanafi berkata, pertandingan melukis Cipta Kawan Cheek-e! yang diadakan Mei lalu telah menerima sekitar 30,000 lukisan penyertaan hanya dalam tempoh dua minggu ia berlangsung.

“Jumlah tersebut cukup memberangsangkan dan memberi gambaran bahawa kehadiran Cheek-e ini diterima baik oleh adik-adik yang ada di luar sana.  Setiap penyertaan telah diadili oleh barisan juri profesional termasuklah selebriti Hanis Zalikha, bagi memilih empat lukisan penyertaan terbaik,” katanya.

Terdahulu, Astro Ceria telah menjelajah ke sekolah-sekolah rendah terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Sarawak dalam menjayakan pertandingan melukis Cipta Kawan Cheek-e!.

Setiap penyertaan telah melalui beberapa proses saringan oleh barisan juri profesional dan dinilai daripada sudut kreativiti, impak visual, originiti serta ketepatan karya mengikut tema pertandingan.

Di peringkat akhir saringan, 40 penyertaan terbaik telah dimuat naik di laman sesawang rasmi pertandingan dan diadili dengan sistem pemarkahan yang melibatkan 50 peratus jumlah undian daripada orang ramai, serta 50 peratus lagi jumlah markah oleh barisan juri profesional.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.