Berita Terkini
recent

Mansuh tol, rakyat tanggung beban

Rakyat akan menanggung beban akibat pemansuhan empat tol seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana kerajaan tidak akan mengeluarkan kos untuk pemansuhan itu.

"Saya mohon jangan terburu-buru mengalu-alukan permansuhan empat tol ini. Kenapa?

"Apabila ditanya wartawan di luar dewan, Menteri Kewangan II memberitahu bahawa kerajaan tidak akan memberi pampasan kepada pemilik tol, tetapi akan memanjangkan tempoh konsesi tol yang lain. Ini adalah seumpama mencuri wang daripada pengguna tol-tol yang lain, untuk membayar penghapusan empat tol ini.

"Satu sen pun tidak dikeluarkan oleh kerajaan. Beban pemansuhan empat tol ni akan ditanggung penuh oleh rakyat," katanya ketika perbahasan Bajet 2018, di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, idea penghapusan semua tol di Malaysia dalam Belanjawan Pakatan Harapan berbeza dengan pengumuman pemansuhan tol oleh Perdana Menteri.

"Penghapusan tol-tol ini kami cadang dilaksanakan secara berperingkat. Kita akan mulakan proses ini dengan memastikan semua perjanjian tol didedahkan secara awam dan pakar-pakar forensik kewangan akan dilantik untuk membuat analisa terperinci.

"Sekiranya terdapat terma-terma berat sebelah, kami akan memulakan proses rundingan semula. Kami juga akan menyemak semula kos untuk mengambil alih semua konsesi tol," katanya.

Menurut beliau, cadangan itu sekurang-kurangnya akan bermula dengan proses pembekuan semua kenaikan kadar tol dan mengurangkan kadar yang ada.

"Langkah ini akan menjimatkan kos pengangkutan yang ditanggung oleh rakyat sekian lama. Langkah ini juga berbeza dengan pengumuman Najib yang membataskan pemansuhan tol di cuma empat lokasi terpilih," katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.