Berita Terkini
recent

Malaysia dalam ingatan

Selepas dua dekad, kumpulan rock popular Amerika Syarikat, Mr Big kembali ke Malaysia dalam konsert Mr Big Live in Malaysia di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, Sabtu ini jam 8 malam.

Konsert berkenaan sempena mempromosikan album kesembilan mereka, Defying Gravity.

Menariknya, album memuatkan 11 lagu itu hanya mengambil masa selama enam hari untuk disiapkan sepenuhnya.

Ditubuhkan pada 1988, Mr Big yang dianggotai Eric Martin (penyanyi), Paul Gilbert (gitar), Billy Sheehan (bass) dan Pat Torpey (dram) pernah berpisah pada 2002, namun mengambil keputusan kembali sebagai satu kumpulan pada 2009 atas permintaan peminat.

Pada November 1994, band asal Los Angeles, Amerika Syarikat ini mengadakan konsert sulung mereka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksi lebih 6,000 penonton.

Biarpun sudah lama tidak menjejak kaki di Malaysia, Sheehan berkata, dia masih mengingati saat manis kali pertama mengadakan persembahan di sini.

“Banyak memori manis yang kami masih ingat dan sambutan peminat pada masa itu juga menakjubkan.

“Kami sudah tidak sabar jejak kasih dengan peminat di Malaysia Sabtu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam temu bual ringkas itu, Sheehan berkata anggota Mr Big tiada rahsia mengekalkan populariti mereka walaupun ‘trend’ muzik sentiasa berubah.

“Tiada rahsia terhadap kejayaan Mr Big. Kami mencipta lagu dan membuat persembahan dengan sepenuh hati,” katanya.

Menurut Sheehan, semua karya ciptaan Mr Big serta vokal adalah asli dan bukan diubah suai menggunakan teknologi.

“Kami tidak menggunakan ‘trick’ studio dalam muzik dihasilkan ataupun vokal palsu. Semuanya adalah tulen sejak kami menubuhkan kumpulan ini dan akan mengekalkannya sampai bila-bila,” katanya.

Dalam pada itu, Sheehan meluahkan kegembiraan apabila mendapat tahu muzik diperjuangkan Mr Big turut diminati generasi muda.

“Sangat bagus! Bagi saya, muzik yang bagus tiada hayatnya. Saya sendiri gemar mendengar muzik daripada pelbagai era dan genre,” katanya.

Mengenai album Defying Gravity, Sheehan turut menjelaskan mengenai imej seekor gajah dalam keadaan terbalik dipilih sebagai wajah depan album berkenaan.

“Gajah sangat berat dan agak menarik sekiranya haiwan itu dapat melawan daya tarikan bumi. Itulah sebab kami memilih gajah untuk menghiasi wajah album itu.

“Mengenai pembikinam album pula, selepas selesai rakaman dalam tempoh enam hari, kami menghabiskan beberapa hari untuk membuat latar vokal dan ‘mixing’.

Terbaru ini, Mr Big juga memuat naik tujuh video muzik asli lagu hit kumpulan berkenaan di akaun MrBigVevo di YouTube.

Ramai peminat meluahkan rasa teruja dapat menyaksikan video muzik rasmi daripada kumpulan itu di ruang komen.

Mr Big terkenal menerusi lagu hit To Be With You berjaya membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan memperoleh jualan rekod platinum paling tinggi.

Dengan menggabungkan gaya muzik ‘shredding’ bersama harmoni vokal yang hebat, Mr Big menggubah pelbagai lagu hit seperti Alive & Kickin’ dan Just Take My Heart yang merangkumi genre rock yang lain seperti balada, heavy metal dan blues rock.

Tiket untuk menyaksikan konsert Mr Big Live in Malaysia 2017 berharga di antara RM188 hingga RM568 dan boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.