Berita Terkini
recent

Mahu saman Khalid jika gagal mohon maaf

Presiden Pertubuhan Ahi Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zain bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad jika gagal memohon maaf terhadap tuduhan godfather.

"Saya cabar Khalid Samad mendedahkan siapa individu berpengaruh (godfather) yang melindungi saya seperti yang didakwa.

"Kenyataan itu bukan sahaja memburukkan imej saya tetapi dilihat suka mengambil kesempatan terhadap isu yang tercetus demi kepentingan politik, khususnya pembangkang," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Khalid sebelum ini mendakwa beliau dilindungi individu berpengaruh (godfather), namun tidak mendedahkan nama individu berkenaan.

Beliau turut mencabar Khalid untuk mendedahkan siapa individu yang digelarnya sebagai godfather.

"Saya memandang serius kenyataan Khalid yang membuat tuduhan jahat kononnya ada godfather melindungi saya seperti dilaporkan media kelmarin.

“Jika benar saya dilindungi godfather, maka saya mencabar pemimpin Amanah itu untuk mendedahkan siapa individu seperti yang dimaksudkan beliau,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Khalid ketika ditemui media mendakwa Zamihan dilindungi oleh seorang individu berpengaruh dan godfather itu kini cuba menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk merayu bagi pihak Zamihan kerana kenyataan mengkritik baginda, baru-baru ini.

Zamihan berkata, sekiranya khalid gagal membuktikan tuduhannya itu, bermakna ia seorang pemimpin Amanah yang suka berbohong dan memfitnah individu berbeza fahaman agama dengan beliau.

Selain itu, beliau menyatakan kesediaan bersemuka dengan Khalid bagi mencari kebenaran dalam isu tersebut.

“Wacana berkenaan boleh diadakan dalam bentuk diskusi, forum mahupun debat di mana-mana saja lokasi yang beliau tetapkan. Sebagai seorang pemimpin beliau harus cermat dan tidak sepatutnya membuat tuduhan melulu tanpa sebarang bukti,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.