Berita Terkini
recent

Liza Hanim Gementar

LAMA menyepi, namun nama Liza Hanim tidak pernah dilupakan dalam dunia seni suara. Buktinya, penyanyi berusia 38 tahun ini masih ligat di pentas meskipun tidak muncul di TV.

Penyanyi ini mengakui merindui bidang nyanyian dan tidak pernah melupakannya.

“Saya masih ambil beberapa persembahan pentas cuma tak terlalu aktif,” katanya .

Malah, kali terakhir pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim ini menghasilkan single, Egoismu yang turut menjadi runut bunyi bagi drama bersiri, Maaf Jika Aku Tak Sempurna pada 2014.

Kini nama figura ini menjadi tumpuan selepas muncul dalam program realiti, Gegar Vaganza 4  (GV4) dan lebih istimewa peminat sentiasa menantikan penyertaannya sepanjang tiga musim program itu bersiaran.

“Kalau diikutkan, ada kronologi kenapa saya tolak untuk menyertai program realiti ini, sebelum ini.
“Ada ketikanya tawaran tu semasa saya sedang hamil, berpantang selain sibuk fokus menguruskan bisnes,” katanya.

Pada sama sama, katanya, pujukan peminat juga membuka pintu hatinya  menyertai GV4.
“Kadang-kadang, bila peminat call and tell you should sertai program ini, timbul juga rasa kasihan dalam diri. Mereka mahu kita perform di atas stage dan saya pun sebenarnya memang rindu sangat nak perform atas pentas.

“ Rasa gementar pasti ada sebab dah lama tak menyanyi dalam satu pertandingan di hadapan orang ramai,” cerita Liza lagi.

Secara tidak langsung, Liza mengakui situasi itu menyebabkan ramai yang meletakkan harapan tinggi sekali gus namanya disebut sebagai bakal juara meskipun pertandingan  belum bermula.“Saya akui sedikit tertekan. Lagipun, saya dah biasa jadi underdog dari dulu. Bila tiba-tiba macam ni, saya terkejut.

“Tapi saya perlu letak semua itu ke tepi. Saya akan buat selagi apa yang boleh saya buat dan jadi diri sendiri. Itu saja yang saya boleh buat,” jelasnya.

Rentetan itu, sebagai persediaan, penyanyi lagu Getaran Cinta Di Jiwa ini bersedia mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan Cikgu Syafi.

“Perubahan suara itu pasti ada apatah lagi usia pun dah nak cecah 40-an. Jadi saya harap peminat tak bandingkan vokal saya hari ini seperti usia saya 20-an,” ujarnya.

Menurut Liza, persetujuannya menyertai GV4 bermakna dia harus sedia dengan kritikan juri dan komen netizen di media sosial namun dia yakin juri beri kritikan terbaik untuk mengajar, membantu dan membetulkan kesilapan.

Liza juga menganggap penyertaannya sebagai peluang keemasan selain berada satu pentas dengan idolanya, Aishah.

“Tapi, terus terang cakap, saya memang nervous sangat sebab bakal bertanding dengan idola saya itu tapi semuanya terpulang pada rezeki. Cuma saya anggap ini sebagai permulaan untuk aktif semula,” katanya yang merancang merakamkan single selepas ini.

Selain Liza dan Aishah, GV4 turut menyaksikan pembabitan Aqasha, Elyana, Lan Kristal, Syura, Tia Jinbara, Haida, Hazami, Raja Azura serta Firman Siagia dari Indonesia dan Ferhad, Singapura.
GV4 bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil serta dapat ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123) setiap Ahad, mulai 29 Oktober ini.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.