Berita Terkini
recent

Lancar muzik video I Am Me

KEMUNCULAN usahawan terkenal Datuk Seri Vida yang memandu kereta mewah Lamborgini warna merah jambu lengkap berbusana baju tidur rona sama di pusat beli-belah di ibu kota menarik perhatian ramai.

Penampilan Vida itu adalah gimik kepada pelancaran muzik video lagu I Am Me yang diadakan di sini, petang tadi.

Vida berkata, impiannya untuk melancarkan lagu itu tercapai seperti yang dirancang sejak bulan lalu.

“Pengarah muzik video lagu ini, Ghaz Abu Bakar berjaya merealisasikan idea saya. Apa saya inginkan, dia mampu buat. Saya sangat berpuas hati dengan hasilnya.



“Sekali lagi, ingin saya tegaskan muzik video ini bukan bertujuan mahu menunjuk-nunjuk atau riak. Sebaliknya saya hanya menonjolkan kreativiti sendiri. Muzik video ini adalah diri saya sebenar,” katanya.

Menurut Vida, dia turut terbabit dari awal sehingga proses akhir pembikinan muzik video.

“Saya sangat pentingkan kualiti. Disebabkan itu saya memilih Ghaz sebagai pengarah muzik video saya. Malah ketika proses penggambaran lagi, saya sudah nampak kualiti yang bakal dihasilkan.

“Saya sangat teruja dengan penghasilan muzik video ini. Ia sangat bermakna untuk saya.

“Kalau tak suka, saya akan berterus-terang dengan Ghaz. Apabila siap sepenuhnya, saya yakin orang akan menontonnya berulang kali. Saya berani cakap, muzik video ini memang menarik,” katanya.

Pada masa sama, Vida mengumumkan akan melelong berlian, cincin dan beg tangan yang digunakan dalam muzik video itu.

Muzik video yang menjalani penggambaran di rumahnya itu mencecah RM1 juta membabitkan kos pembikinan, kostum dan barang kemas.

Kos pembikinan mencecah RM180,000, pakaian dan prop RM80,000, prop tambahan RM30,000, cincin berlian RM300,000 dan beberapa barangan kemas lain bernilai ratusan ribu.

Pada majlis pelancaran muzik video itu, Vida menerima kek seberat 87 kilogram berharga RM26,000 yang bertatahkan batu Swarovski .

Terdahulu, video lirik rasmi lagu itu mencecah sembilan juta tontonan di laman YouTube sejak dimuat naik pada Julai lalu.

Lagu I Am Me adalah ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim.
Powered by Blogger.