Berita Terkini
recent

Lagu untuk Johan

Hampir tujuh bulan komposer Johan Nawawi pergi meninggalkan segala yang disayanginya di dunia ini dan selama tempoh itu juga setiap pagi Jumaat, isteri tercinta, Nora menziarahi pusaranya.

Jasad Johan disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Petaling Jaya.

Berkongsi perasaannya ketika ini, jelas Nora sejak pemergian arwah, sudah 29 kali Jumaat dia ke pusara Johan dan hanya satu Jumaat dia tidak pergi kerana pulang beraya di kampungnya di Kota Bharu, Kelantan.

“Selepas solat Subuh, saya terus ke pusara arwah. Rasa tidak sempurna rutin hidup saya jika tidak pergi ‘berjumpanya’.

“Di pusaranya saya bercerita dan mengadu segala yang saya lalui selama hidup bersendirian tanpanya. Betapa saya perlu kuatkan hati saya demi anak dan menguruskan dua syarikat miliknya.

“Tidak pernah sedetik saya melupakannya. Saya reda dengan pemergiannya, namun saya rasa arwah pergi terlalu cepat dan secara ‘tiba-tiba,’ katanya sebak.

Masakan tidak, dua jam sebelum Allahyarham menyahut panggilan Ilahi, mereka masih berbual. Johan juga kelihatan sihat. Lalu, meskipun Nora menerima ketentuan yang sudah ditetapkan Yang Maha Esa, sukar baginya untuk menerima kenyataan itu.

Johan meninggal dunia di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby akibat komplikasi jantung.

Nora kini ibu dan bapa

Memahami ada tanggungjawab yang ditinggalkan Johan, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 44, bangkit meneruskan kehidupan bersama empat anaknya, Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif, Putri Nor Dahlia dan Putri Nur Fatihah.

“Selepas ketiadaan arwah, saya senyap kerana masih dalam idah. Lama-kelamaan, saya sedar saya perlu kuat demi mencari rezeki buat anak.

“Selepas lima bulan arwah pergi, saya mula bekerja kerana bayangkan kalau arwah masih hidup, dia mahu saya gembira dan teruskan hidup,” katanya.

Kini Nora menguruskan dua syarikat milik arwah, Johan Nawawi Sdn Bhd dan Hud Hud Media. Memainkan perasaan besar bagi memastikan pengurusan syarikat berjalan lancar ada rasa terbeban kerana kini Nora yang akan menentukan hala tuju perniagaan dan segala keputusan di tangannya.

“Dulu sesibuk mana pun arwah bekerja, saya ada di rumah menunggu kepulangannya, menyediakan makan dan minumnya, tetapi sekarang saya balik ke rumah, terasa sangat sunyi,” katanya.

Menurut Nora, anak juga terpaksa menempoh fasa baru kerana kalau dulu semua kemahuan mereka akan dipenuhi arwah, tetapi kini dia perlu berbelanja secara berhemat.

“Arwah suami dan bapa yang baik. Dia lembut dengan anak dan saya pula tegas dengan mereka. Sekarang apabila terpaksa jadi ‘ibu dan bapa’ kepada anak, kenalah saya imbangkan kedua-dua peranan itu,” katanya.

Mengakui berdepan situasi sukar, Nora bertuah apabila anak sangat memahami apa yang mereka lalui.

“Bukan mudah kerana ketika arwah ada, dialah tulang belakang. Malah, kerjaya awal saya dulu pun bersama arwah,” katanya.

Sebagai kenangan untuk arwah, Nora merakamkan single terbaru berjudul Ada Dalam Tiada ciptaan Sirkhan dan lirik oleh Habsah Hassan.

“Ini pengalaman baru saya uruskan semuanya. Saya juga terbitkan album tribute untuk suami memuatkan koleksi lagu ciptaan arwah nyanyian Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti dan Liza Hanim.

“Kandungan lagunya termasuk pembabitan awalnya sebagai komposer. Saya juga buat album ini untuk industri muzik, apresiasi daripada arwah untuk generasi akan datang.

“Arwah merancang menerbitkan album itu tahun lalu, tetapi tak kesampaian. Jadi, saya realisasikannya. Album itu sudah hampir siap sepenuhnya,” katanya.

Nora ditemui di RTM, Jumaat lalu apabila dia dijemput ke segmen Hijrah yang mengisi slot di Nasional FM. Segmen itu bersiaran setiap Jumaat, dari jam 12.15 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Menurut Ketua Bahagian Rancangan Nasional FM,Nazirah Fadhlina Anuar, segmen itu diwujudkan tahun lalu sebagai memenuhi aspirasi RTM yang perlu menyediakan pengisian lengkap mencakupi semua aspek termasuk program yang bercorak kerohanian dan keagamaan.

“Sebagai radio kerajaan, RTM berperanan untuk menyediakan maklumat dan menyeluruh agar dapat memberi manfaat kepada semua golongan pendengar.

“Untuk segman Hijrah ini, setiap minggu kami menjemput selebriti berkongsi penghijrahan yang mereka lalui. Perkongsiaan rohani yang dibuat secara santai itu diharapkan lebih mudah untuk diterima pendengar,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.