Berita Terkini
recent

Lagu Haikal menjadi

Tidak keterlaluan dikatakan lagu Kenangan Cinta nyanyian penyanyi muda, Haikal Azman, 19, semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sekarang.

Buktinya, lagu berkonsep pop balada ciptaan S Shuhaimi dan lirik ciptaan Suria Azman ini sudah menempatkan nama Haikal dalam kalangan 50,000 penggemar aplikasi JOOX selepas tiga hari dimuat naik.

Lagu ini juga kerap diputarkan di stesen radio dan video muzik Kenangan Cinta di YouTube pula sudah mencecah lebih 700,000 tontonan.

Ia sekali gus menggembirakan anak muda berasal dari Pulau Pinang yang mula menyanyi sejak dibangku sekolah rendah ini.

“Syukur impian saya untuk jadi penyanyi akhirnya tercapai. Dulu saya kerap menyertai pelbagai pertandingan di negeri sebelah utara dan pernah beberapa kali meraih kemenangan.

“Dari situlah impian saya untuk menyanyi terus membara. Alhamdulilah keluarga pula memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam mengejar impian,” katanya.

Ketika bertanding, Haikal memilih menyanyikan lagu pop balada berkonsep 1990-an dan resipi inilah yang dilakukan dalam lagu Kenangan Cinta.

“Rasanya lagu begini sangat serasi dengan jiwa saya. Lagipun, cita rasa peminat sendiri banyak terarah kepada konsep lagu begini.

“Saya kini berusaha gigih untuk menempatkan nama dalam kalangan peminat. Kalau boleh biarlah peminat melihat saya sebagai bintang baru dari Pulau Mutiara selepas Razis Ismail dan Datuk Nassier Wahab,” katanya.

Dalam pada itu, Haikal berkata, keghairahannya untuk menjadi penyanyi membawa padah apabila ditipu seorang kenalan keluarganya .

“Asalnya lagu ini akan diterbitkan di bawah syarikat milik keluarga saya sendiri. Mereka bekerjasama dengan seorang bekas artis yang boleh dikatakan dikenali juga namanya dalam bidang seni.

“Bagaimanapun, projek ini berlangsung separuh jalan sedangkan kos dikeluarkan agak tinggi hanya untuk sebuah single. Ibu saya perasan sesuatu yang tak kena dan memutuskan untuk segera menamatkan kerjasama itu,” katanya.

Keluarga Haikal tidak berputus asa dan mengambil keputusan mencuba nasib dengan syarikat rakaman New Southern Records (NSR) dan usaha mereka berjaya.

“Kami sebenarnya pergi kepada semua syarikat rakaman tapi jawapan yang diberikan agak mengecewakan.

“Syukur NSR membuka pintu dan menyukai lagu ini dan menawarkan kontrak sebagai artis mereka,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.