Berita Terkini
recent

'Kuasa duit' luaskan pengaruh

Episod pengenalan program bual bicara dan info hiburan Cuit Sikit berlangsung meriah dengan kehadiran dua usahawan terkenal iaitu Datuk Seri Vida dan Nur Sajat, kelmarin.

Dua figura hebat ini diajak berbicara mengenai ‘kuasa duit’ yang memungkinkan mereka melakukan apa saja demi mengecapi populariti dan meluaskan empayar perniagaan.

Mana tidaknya, dengan kekayaan yang ada, mereka mampu menaja pelbagai program hiburan popular malah turut tampil sebagai pengacara bersama dalam segmen diwujudkan.

Terbaru, Vida dan Sajat dilihat cuba mengasah bakat sebagai pelakon dan penyanyi. Perkembangan ini mengundang pelbagai reaksi masyarakat malah ada yang mendakwa mereka sengaja menguasai industri hiburan untuk meluaskan pengaruh.

Vida berkata, dia tertarik dengan topik Kuasa Duit yang diangkat dalam program terbitan Harian Metro (HM) itu apatah lagi ia disiarkan secara langsung di akaun rasmi Facebook HM.

“Duit boleh beli segalanya asalkan mengikut kemampuan diri. Kuasa duit ini sememangnya luar biasa sekiranya kita pandai menggunakannya di landasan yang betul.

“Saya sangat seronok dan teruja apabila diundang sebagai tetamu program ini. Bahkan program ini juga memberikan saya platform untuk mempromosikan diri sebagai usahawan kosmetik.

“Selain itu, topik yang dibincangkan juga bersesuaian dengan diri saya. Saya berharap program ini akan mendapat sambutan ramai,” katanya.

Menerusi program terbabit, Vida menjelaskan meskipun kuasa duit memungkinkan dirinya memiliki segalanya, soal hati dan perasaan tidak boleh dibeli dengan duit.

“Menerusi duit kita boleh dapat apa saja tapi kasih sayang dan perasaan tidak boleh dibeli. Ia anugerah paling berharga,” katanya.

Kata Vida, dengan kuasa duit dia kini sudah mengeluarkan single terbaharu I AM Me yang mencatat lapan juta tontonan di YouTube.

“Sebagai ahli perniagaan saya suka mencabar diri meskipun tidak mempunyai pakej lengkap.

“Bagaimanapun, saya percaya bakat boleh diasah secara perlahan-lahan. Walaupun tidak mempu­nyai suara yang merdu, saya mahu mencuba dan me­nyanyikan lagu mengikut kemampuan diri,” katanya.

Sementara itu, Sajat ketika ditemui berkata, dia percaya menceburi bidang lakonan dan nyanyian adalah publisiti terbaik untuk melariskan produknya meskipun perlu mengeluarkan duit.

“Saya menerima permintaan tinggi daripada pengikut untuk menghasil­kan single. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada sebuah syarikat rakaman.

“Lagipun, usahawan menceburi bidang nyanyian sudah jadi trend. Jadi tidak salah untuk saya mencuba dan percaya ia sebahagian promosi untuk lebih maju ke depan dalam perniagaan,” katanya.

Ditanya mengenai program terbitan HM ini, Sajat berharap ia terus mengetengahkan topik menarik dan panas.

“Saya berbesar hati apabila diundang pada episod pengenalan. Apatah lagi digandingkan dengan personaliti popular Datuk Seri Vida.

“Sepanjang program berlangsung saya jadi diri sendiri. Bagi saya, program ini wajar diteruskan dan tidak sabar untuk menonton episod seterusnya,” katanya.

Program yang bersiaran selama 40 minit itu dibahagikan kepada lima segmen iaitu soal jawab Cuit Sikit, Apa Kata, 5 Kebaboom, Cik Pang dan Akustika.

Ia disiarkan secara langsung setiap Rabu, jam 9 malam di akaun rasmi Facebook HM .
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.