Berita Terkini
recent

Kontena 404 'hantui' Istana Budaya

Pasti ramai yang tahu kemelut yang melanda produksi teater Kontena 404 (Jangan Main-Main) apabila dikatakan dibiaya Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman yang ditahan bagi membantu siasatan penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.8 juta.

Walaupun Pengurus Besar DBI Entertainment Lyana Zulkepli menjelaskan Boy Iman bukanlah pembiaya untuk pementasan teater di Istana Budaya, Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini, ia sedikit sebanyak mengganggu emosi tenaga produksi dan pelakonnya.

Bagaimanapun berbekalkan kepercayaan yang diberikan Istana Budaya, Raja Azrey selaku pengarah bangkit meniupkan semangat buat semua yang terbabit dengan pementasan ini.

Pentas sederhana besar bukan satu masalah buat Raja Azrey untuk mementaskan teater kesembilan arahannya ini.

Cukup dengan rekaan set banglo usang dan sebatang pokok, dia lebih mementingkan aspek penguasaan pentas dan lontaran dialog yang penuh penghayatan dan mengandungi mesej daripada pelakon yang ditampilkan.

Pelawak Tauke Jambu dan Miera Leyana yang pertama kali berlakon teater diberikan tugasan berat untuk memainkan watak utama sebagai Hantu Jantan dan Aisyah.

Mereka dibantu pelakon asuhan Raja Azrey di bawah kumpulannya Geliga Merah Opera (GMO), Lokman Harmin yang membawakan watak Orang Minyak.

Bahkan Raja Azrey sendiri turun padang sebagai Pak Selamat dan tindakan ini ternyata memberi nafas untuk teater Kontena 404 ini.

Teater ini turut dimeriahkan dengan kemunculan Adam AF, Aesar Mustafa, Adam Shahz dan Rani Kulop.

Perjalanan cerita ini tidak membosankan kerana mempunyai elemen komedi. Namun, dalam bergelak ketawa, ada mesej yang diselitkan sebagai renungan dan teladan buat kita.

Teater genre komedi seram ini berkisarkan sebuah rumah di tanah lot bernombor 404 yang sering menjadi igauan penduduk kampung kerana dikatakan berhantu.

Pemiliknya, Pak Selamat mengambil keputusan untuk merobohkan rumah itu dan ingin mendirikan sebuah rumah yang lain dari biasa iaitu rumah kontena.

Rumah itu juga akan dihadiahkan kepada Aisyah sempena perkahwinannya nanti. Namun proses merobohkan rumah itu menjadi huru-hara apabila kontraktor yang dilantik ada yang disampuk dan diganggu mengakibatkan kerja banyak tergendala.

Gangguan ini sebenarnya berpunca dari seekor hantu bernama Hantu Jantan yang tinggal di rumah ini. Keadaan bertambah rumit apabila hantu itu jatuh hati pula terhadap Aisyah dan ingin mengahwininya.

Dia seterusnya menjelmakan diri bertemu Pak Selamat dan cuba meminang anaknya. Permintaan ini dihalang menyebabkan Hantu Jantan mengamuk dan mencetuskan huru-hara.

Ditemui selepas pementasan berakhir, Tauke berkata, dia memperoleh pengalaman baru dan amat bertuah kerana dapat membuktikan bakatnya di pentas teater pula.

“Biarpun kami ditimpa pelbagai masalah dan isu, kami anggap itu sebagai satu cabaran dan akhirnya berjaya mengadakan persembahan dengan lancar,” katanya.

Tauke menganggap dirinya bertuah membawakan watak Hantu Jantan bukan kerana ia watak utama tetapi kerana menggambarkan hampir 70 peratus apa yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan sebenarnya.

“Ia ibarat kisah benar mengenai impian perkahwinan, mengenai perasaan saya sebelum ini. Jadi perkara ini buat saya rasa sangat terkesan dengan Kontena 404. Saya berikan komitmen sepenuhnya kerana amat tertarik dengan watak dan jalan ceritanya,” katanya.

Miera pula melihat sebuah lagi karya hebat dilahirkan menerusi Kontena 404.

“Bagi saya teater ini sangat dekat dengan saya. Ia antara skrip terhebat yang pernah saya buat. Ia mempunyai pelbagai rasa meliputi elemen sedih, romantik, komedi dan segala-galanya.

“Sebagai pelakon agak jarang saya dapat naskhah sebegini. Ia penuh emosi dan dapat dibuat secara langsung depan penonton di IB,” katanya.

Miera hanya dapat berlatih dalam tempoh sebulan dan sangat sedih sebaik pementasan berakhir.

“Perasaan saya sangat sedih kerana hubungan yang terjalin dengan semua pihak bagaikan sebuah keluarga.

“Masing-masing memberi semangat antara satu sama lain dan diharapkan kami dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Raja Azrey, dia lega kerana segala usahanya yang dibuat selama hampir dua bulan berbaloi apabila teater ini mendapat sambutan penonton.

“Mereka menerima seadanya pelakon yang terbabit dalam teater ini termasuk saya sendiri. Tiada kejanggalan mengatakan kehadiran saya akan mengganggu rentak perjalananan cerita.

“Pelakon pun seakan selesa apabila saya berada sama. Bagaimanapun tak dinafikan apa yang berlaku sebelum itu membuatkan saya tertekan,” katanya.

Menurutnya, kesepakatan dan kekuatan pasukan produksi serta pelakon menjadi faktor kejayaan teater ini sehingga diterima baik oleh peminat.

“Apa yang diperlihatkan mereka membuatkan rasa penat dan tekanan yang dialami sebelum ini hilang. Mereka tak terganggu dengan apa yang mereka dengar.

“Saya juga menerima respons positif daripada Istana Budaya yang menyifatkan teater ini lain daripada teater yang pernah dipentaskan sebelum ini,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.