Berita Terkini
recent

Kongsi gembira dengan semua

Bintang yang satu ini sangat terpuji. Masih bersinar terang sejak pembabitannya dalam dunia seni pada 1995 walaupun muncul bintang baru silih berganti. Dia tetap nombor satu dan dia adalah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Sesuai dengan gelaran nombor satu, kisah hidupnya sentiasa jadi buruan. Bagusnya Siti kerana dia tahu media sentiasa ingin tahu mengenai dirinya dan dia mengambil langkah bijak dengan tidak memilih bulu.

Maknanya walau baik dan rapat dengannya tapi apabila berkaitan berita peribadi, Siti akan pastikan semuanya mendapat berita serentak. Tidak siapa yang dapat skoop.


Dulu apabila Siti dikaitkan dengan Datuk K, lebih setahun Siti berteka-teki hingga tampil dengan lagu Biarlah Rahsia. Sebagai wartawan hiburan ketika itu, saya antara yang berusaha merungkai rahsia ini.

Tidak dapat dari Siti dan pengurusannya, himpit orang-orang tertentu yang dirasakan boleh membuka cerita. Hasil dari sumber-sumber ini jugalah berjaya abadikan gambar lelaki berkumis yang hadir dalam satu majlis dihadiri Siti.

Sudah di depan mata, tapi Siti masih terus berteka-teki sekadar mengulas ‘no komen’ apabila ditanya adakah Datuk K itu tetamu istimewa yang hadir pada malam itu.

Apa yang penting, gambar lelaki berkumis yang mungkin Datuk K itu, disiarkan di muka depan Harian Metro pada 23 Februari 2006. Bangga sungguh ketika itu.

Apabila dapat tahu Datuk K menghantar rombongan ke Kuala Lipis meminang Siti, sumber ini juga sudi membuka mulut ketika itu.

Akhirnya pada 16 Julai 2006, Siti mengadakan sidang media mengumumkan tarikh pernikahannya sekali gus memperkenalkan lelaki yang berjaya menambat hatinya yang selama ini dikenali sebagai Datuk K.

Bertempat di Hotel The Zone, Kuala Lumpur, Siti mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahannya serentak pada Isnin, 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, bersempena Israk Mikraj yang jatuh pada hari berkenaan.

Kini berita kehamilan Siti jadi buruan. Awal November 2015, pernah dikhabarkan berita Siti hamil tetapi tiada pengesahan daripada Siti. Suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, memilih untuk berteka-teki mengiyakan tidak, menafikan pun tidak.

Akhirnya spekulasi itu terjawab pada 1 Disember 2015 apabila Siti keguguran. Ia dikongsi Siti melalui laman sosial Instagramnya, @ctdk.

Kata Siti, ada sebab mengapa berteki-teki kerana usia kandungan pada waktu itu masih terlalu ‘fragile’ dan menantikan waktu yang sesuai untuk mendedahkan berita gembira itu, namun takdir Allah telah tertulis.

21 Ogos lalu genap 11 tahun Siti dan Datuk K melayari kehidupan rumah tangga. Sejak beberapa bulan lalu, media juga dapat menghidu berita kehamilan Siti tetapi pasangan ini juga seperti sebelumnya, tidak mengiyakan atau menafikan.

Sejak itu, Siti juga seolah-olah ‘hilang’ seketika dari radar industri muzik tempatan. Siti meminta agar diberi ruang untuk membolehkannya berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Atas dasar menghormati permintaan Siti, semua bersabar menantikan detik perkongsian itu.

Tiga bulan berkurung dalam bilik

Jumaat lalu, Siti dan Datuk K mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa.

Demi menghormati tugas wartawan, Siti berlaku adil dengan berkongsi berita gembira kehamilannya yang kini berusia empat bulan dalam majlis tertutup yang dihadiri wakil media dan keluarga rapat. Berita itu dikongsi Siti serentak secara langsung menerusi laman sosial Instagramnya dan juga Facebook.

Siti juga jujur mengakui hamil selepas menjalani rawatan kesuburan (IVF) kerana begitu mengimpikan mendapat cahaya mata.

Katanya, dia tidak malu mengaku kerana sedar ramai lagi wanita sepertinya yang menghadapi masalah untuk hamil dan sedia berkongsi pengalamannya membantu wanita lain mencapai impian mereka.

Selepas 11 tahun berusaha tanpa kenal erti putus asa, akhirnya tahun ini doanya dimakbulkan. Ini juga percubaan kali ketiga Siti menjalani rawatan IVF lepas pelbagai usaha dilakukan seperti tradisional, berurut dan mengikut nasihat doktor bercuti dan berehat.

Bagaimanapun Siti akui bukan sedikit pengorbanan yang harus dilalui. Selama tiga bulan pertama, Siti tidak keluar bilik apabila Datuk K mengangkatnya ke bilik di tingkat atas dan di situlah Siti menghabiskan hari-harinya berehat dan berbaring dalam bilik.

Selepas usia kandungan masuk bulan keempat, barulah Siti berani keluar rumah itupun hanya empat kali. Selama tempoh berehat itu, Siti terus bersabar menantikan waktu sesuai untuknya berkongsi berita gembira itu dengan semua.

Siti akui apabila diberikan rezeki ini, pelbagai tawaran diterima seperti mengadakan konsert, tawaran menyanyi di Jerman dan Amerika Syarikat tetapi semua itu ditolak.

Pada usia 39 tahun, Siti bakal bergelar ibu apabila dijangka melahirkan pada Mac 2018 dan ini juga detik indah buat Datuk K apabila kembali bergelar bapa selepas 20 tahun pada usia 59 tahun.

Siti dan Datuk K juga berharap dikurniakan anak perempuan kerana empat anak Datuk K semuanya lelaki begitu juga dengan cucunya. Pasangan ini juga sudah menyediakan nama untuk bayi mereka.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.