Berita Terkini
recent

Kompleks, padat, 'ketat' dan padu

Ketika menonton konsert Dream Theater di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini, rakan saya Nuhairi Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama Tokai berkata, matanya menjadi ‘juling’.

Ini kerana aksi lima anggota Dream Theater iaitu James LaBrie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) pada malam itu cukup mengagumkan.

Mereka cukup handal di posisi masing-masing hingga kita tidak tahu hendak fokus kepada siapa!

Ini yang dimaksudkan si Tokai matanya menjadi juling!


KEHEBATAN vokal LaBrie cukup terserlah.
Bukan saja Tokai, saya percaya lebih 2,500 penonton yang hadir turut memiliki perasaan sama. Ada ketikanya penonton senyap, bukannya bosan tetapi terpaku dengan persembahan band progresif metal dan progresif rock ini yang cukup kompleks, padat, ‘ketat’ serta padu.

Sejak dulu, Dream Theater cukup dikenali dengan ketelitian dalam penghasilan muzik. Gubahan muzik mereka cukup kompleks dan padat. Kemahiran teknikal dalam mengendali alat muzik masing-masing adalah kelebihan band dari Boston, Amerika Syarikat ini.

Reputasi Petrucci dan Myung sebagai pengasas band ini cukup hebat. Petrucci pernah diletakkan di kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists pada 2009.


MYUNG antara pemain bass dikagumi seluruh dunia.
Selain itu, dia pernah dinamakan sebagai seorang daripada ‘Top 10 Fastest Shredders of All Time’ oleh majalah GuitarOne.

Myung juga diiktiraf sebagai antara pemain bass terhebat sepanjang zaman dalam undian dijalankan MusicRadar pada 2010.

Bukan saja Petrucci dan Myung, Rudess turut dilabel antara pemain keyboard terhebat dunia oleh pelbagai majalah muzik antaranya MusicRadar.




TEKNIK permainan gitar Petrucci mengagumkan ramai.
Mangini yang menyertai Dream Theater pada 2010 menggantikan Mike Portnoy pula memegang lima rekod dunia Pemain Dram Terpantas pada 2002 hingga 2005.

Paling menarik, dia adalah bekas profesor di kolej muzik terkenal dunia iaitu Berklee College of Music di Boston sebelum menyertai band ini.

Konsert bermula tepat jam 8.30 malam apabila Petrucci memulakan intro riff gitar lagu The Dark Eternal Night sekali gus membuatkan penonton teruja menyaksikan konsert sulung Dream Theater di sini.

Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan lagu The Bigger Picture, Hell’s Kitchen, The Gift of Music, Our New World, As I Am dan Breaking The Illusions.




RUDESS pemain keyboard paling ‘cool’.
Konsert di Kuala Lumpur ini adalah sebahagian daripada jelajah Image, Words & Beyond 25th Anniversary Tour yang bermula di Rom, Itali pada 30 Januari lalu.

Ia juga sempena ulang tahun ke-25 album Images & Words yang dipasarkan pada 1992. Image & Words yang juga album kedua Dream Theater adalah album mereka yang paling laris dan mendapat pengiktirafan emas daripada Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA) selepas terjual lebih 600,000 unit.

Selepas berehat 20 minit, segmen kedua konsert lebih menarik apabila ia didedikasikan kepada album Images & Words.

Dalam segmen itu, Dream Theater memainkan semua lagu daripada album berkenaan iaitu Pull Me Under yang juga lagu paling popular mereka, Another Day, Take The Time, Surrounded, Metropolis - Part I: The Miracle and the Sleeper, Under a Glass Moon, Wait for Sleep dan Learning to Live.

Apa yang menarik, ia dimainkan mengikut turutan seperti yang dimuatkan dalam album itu. Malah, apa yang dimainkan di pentas saling tak tumpah seperti anda mendengarnya dari cakera padat.


MANGINI dengan set dram memukau.
Itulah kelebihan Dream Theater, sepanjang konsert berlangsung sukar untuk mencari kesalahan mereka. Dalam erti kata lain, permainan mereka tidak ‘terkucil’ pun!

Selain kehebatan LaBrie dengan vokal falsettonya, penonton turut dihidangkan dengan aksi solo daripada Petrucci, Myung, Rudess dan Mangini.

Dream Theater mengakhiri persembahan dengan ‘encore’ lagu A Change of Seasons daripada EP mereka pada 1995.

Apa yang pasti, penonton cukup teruja dengan konsert ini. Dalam kalangan pemuzik tempatan yang hadir, teknik permainan Dream Theater cukup mengagumkan mereka sekali gus memperoleh ilmu yang boleh dipraktikkan dalam band masing-masing.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.