Berita Terkini
recent

'Kita boleh bincang, bro'

KUMPULAN rock popular Search kecewa dengan tindakan beberapa syarikat rakaman yang menerbit dan memasarkan album kompilasi Search tanpa kebenaran syarikat Go Search Sdn Bhd yang juga pemilik hak cipta lagu-lagu mereka.

Pemain bass Nasir Daud berkata, masalah itu sudah lama berlaku dan kebiasaannya pihak terbabit tidak pernah datang berjumpa atau berbincang dengan mereka.

"Kita bukannya nak menghalang, tetapi kenapa tidak datang berbincang? Apa salahnya hubungi kami dan bincang elok-elok terutama membabitkan royalti dan pemasaran. Hak cipta lagu-lagu itu milik Go Search dan kami berhak ke atasnya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nasir, Go Search adalah pemilik hak cipta lagu-lagu Search daripada album Fenomena yang diterbitkan pada 1989 hinggalah album Gothik Malam Edan pada 2006.



Perkara ini timbul apabila Search menyatakan bantahan terhadap sebuah syarikat rakaman yang memasarkan kembali album kompilasi Search 10 Tahun yang pernah diterbitkan Go Search dan diedarkan BMG pada 1991.

Album berkenaan sepatutnya dipasarkan semalam, tetapi ditangguhkan apabila Search menghubungi mereka meminta pengeluaran album itu dihentikan.

"Sebagai pemilik hak cipta lagu-lagu di dalam album itu. Kami tidak mahu ia diterbitkan dengan sewenang-wenangnya. Kami hargai usaha mereka untuk memasarkan kembali album Search, tetapi lakukanlah dengan cara betul dan telus," katanya.

Nasir berkata, berdasarkan pengalaman mereka, ada juga yang datang berbincang tetapi kebiasaannya hanya selepas album dipasarkan dan royalti yang diterima tidak berbaloi berbanding yang sepatutnya mereka terima.

"Mereka perlu ingat lagu-lagu itu adalah hak milik Go Search. Kami pernah bernaung di bawah syarikat rakaman BMG, tetapi kontrak kami bersama mereka hanya membabitkan pengedaran dan pemasaran album, bukannya produksi album.

"Apabila pihak terbabit memasarkan kembali lagu-lagu milik kami, tetapi kami tidak dimaklumkan langsung mengenai pemasaran dan penjualannya. Ini adalah Harta Intelek (IP) Search yang perlu dihormati," katanya.

Nasir berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan memasarkan lagu-lagu Search tanpa kebenaran mereka.

"Ia bukan saja album dan lagu, tetapi juga penggunaan nama Search dalam menghasilkan barangan seperti kemeja-T, topi dan sebagainya," katanya.

Selain Nasir, Search yang kini dianggotai Amy (penyanyi), Din (gitar) dan Kid (gitar) dalam proses menyiapkan album terbaru mereka.

Album terbitan Datuk M Nasir itu kini dalam proses memasukkan vokal dan dijangka berada di pasaran hujung bulan ini.
Powered by Blogger.