Berita Terkini
recent

Kerja seni terapi Nadine

Di sebalik populariti yang dikecapi kini, ia bukanlah sesuatu yang membahagiakan buat pelakon Nadine Lustre, 24.

Mungkin ramai tidak tahu aktres jelita Filipina ini menghadapi masalah kemurungan sejak dulu dan kini timbul lagi sejak kematian adik lelakinya, Isaiah Luster, 16, pada 8 Oktober lalu.

Nadine yang juga pelakon utama siri TV, Till I Met You mengakui kematian adiknya berupa tamparan besar dalam hidupnya. Apatah lagi kematian adiknya berkait dengan masalah kemurungan yang dialami.

Menurut entri dalam akaun media sosialnya baru-baru ini, Nadine mengakui kini bergelut semula dengan masalah kemurungan.

“Kematian Isaiah benar-benar meninggalkan kesan mendalam pada diri saya hingga mungkin ia kejutan buat anda kerana kini saya harus bergelut semula dengan masalah kemurungan.

“Sebenarnya sudah lama saya menghadapi masalah (kemurungan) ini yang tidak pernah pulih ke hari ini,” katanya.

Menurut Nadine, ada kala dia harus melalui perjalanan hari-harinya dengan hanya duduk di dalam kolah mandi dan memikirkan banyak soalan keliru.

“Saya rasa seperti melihat kehidupan orang lain melalui tingkap. Saya juga memikirkan banyak kelemahan yang ada pada diri.

“Sehingga saya berasakan apa yang sudah diperoleh masih tidak cukup serta ia juga tidak membuatkan saya gembira,” katanya.

Nadine akui apa yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah dan semua itu disembunyikannya melalui lakonan.

Turut aktif sebagai penyanyi, penari dan model sejak 2002, Nadine menganggap pembabitannya dalam karier seni sebagai terapi.

“Ini kerana pada hari itu saya meletakkan topeng pada muka dan tersenyum untuk babak lakonan saya. Saya juga dapat mengawal segala emosi negatif dalam diri melalui kuasa karier sebagai penggiat seni.

“Terus terang, saya yakin sudah berjaya menyembunyikannya hingga percaya anda (peminat) tidak pernah melihat kemurungan itu,” katanya.

Pun begitu, menurut bintang muda kelahiran Quezon City ini, dia sangat bertuah dan berterima kasih kepada keluarga dan sahabat yang banyak membantu memberi sokongan.

Mengenai perkembangan karier lakonannya, Nadine akan masuk ke set penggambaran filem terbarunya, Pendro Penduko.

Masih kekal berlakon di sisi teman lelakinya, pelakon James Reid, 24, pengumuman mengenai projek lakonan ini baru diuar-uarkan Viva Entertainment yang disahkan Paul Basinilio.

Apapun, Pedro Penduko adalah filem adaptasi kisah ‘superhero’ berdasarkan buku ditulis Regene Estolatan.

Mengikut inti pati ceritanya, Pedro Penduko berkisarkan kisah hidup seorang remaja liar, Peter Harris yang dibesarkan di Amerika Syarikat oleh bapa angkatnya.

Memiliki darah Filipina diwarisi daripada ibunya, Peter nyata tidak mampu menerima kenyataan itu. Justeru, seiring dengan usia Peter yang digambarkan sebagai seorang remaja lelaki berusia awal 20-an, pemilihan Reid adalah tepat.

Apatah lagi dengan gandingan rakan lakon bersama kekasihnya, Nadine diyakini berupaya membantu mewujudkan keserasian dengan mudah.

Setakat ini, antara projek lakonan menggandingkan Nadine dan Reid yang mendapat jolokan gelaran’Jadine’ dalam kalangan peminat ialah On The Wings Of Love, Talk Back and You’re Dead, Diary Ng Panget, Beauty and the Bestie dan This Time.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.