Berita Terkini
recent

Kepercayaan bakar semangat

Barangkali namanya bukan dalam kelompok artis popular. Namun, bersandarkan bakat Nadia Aqilah yang mencipta nama di pentas teater terus bertahan dalam arena seni tanah air lebih sedekad lalu.

Antara teater lakonannya ialah Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical.

Bukan saja pentas teater, Nadia juga dikenali menerusi lakonan mantapnya dalam filem Zaiton Ceritaku dan drama rantaian Kerana Terpaksa Aku Relakan.

Justeru, tidak hairanlah Nadia masih menjadi pilihan ramai penerbit dan pengarah untuk beraksi dalam projek drama serta filem hingga kini.

“Saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan oleh penerbit, pengarah dan peminat sekali gus menjadi pembakar semangat dalam bidang lakonan.

“Tawaran berlakon sentiasa ada termasuk watak pembantu.

“Pada masa sama, saya tidak berasa tergugat dengan kemunculan ramai bakat baru yang mewarnai industri ketika ini,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar Nadia Aqilah Bajuri, 31, dia juga berehat selama dua bulan sebelum kembali aktif berlakon.

“Saya masih berlakon drama untuk siaran di kaca televisyen.

“Cuma saya berehat seketika kerana sering ditawarkan watak sama. Kalau dapat karakter yang bagus pasti saya tidak menolak.

“Saya juga memilih naskhah tetapi tidak gandingan kerana biasanya ia diputuskan penerbit dan stesen TV,” katanya.

Kembali dengan bangsawan

Sekian lama tidak beraksi di pentas teater, Nadia kembali mengubat kerinduan peminat dalam Teater Muzikal Bangsawan Dendam Laksamana yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula 10 hingga 12 November nanti.

Dalam pementasan muzikal bangsawan arahan Pat Ibrahim ini, Nadia bergandingan dengan barisan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Megat Sharizal, Anwar Rusdini dan Hamzah Tahir.

“Saya sukar menolak tawaran menjayakan bangsawan ini. Dalam pementasan ini, saya melakonkan watak Wan Anum.

“Memandangkan ini pengalaman pertama terbabit dengan bangsawan, ia pasti mencabar. Saya harap peminat tidak lepaskan peluang menonton persembahan ini nanti,” katanya.

Selepas filem Dorm Melati terbitan Metrowealth, Nadia sekali lagi membintangi karya seram berjudul Haunted Hotel yang sudah menjengah pawagam bermula 19 Oktober lalu.

Dalam filem arahan Ryon Lee itu, Nadia melakonkan watak sebagai doktor dan pesakit yang membantu watak Ling berhubung dengan roh jahat.

“Cabaran paling besar adalah bahasa. Mujur skrip dalam bahasa Inggeris kerana pelakon utama dari Thailand dan China.

“Watak saya kecil saja dan penggambaran babak di hospital juga hanya tiga hari.

“Saya berasa bangga bila dapat tahu kutipan filem ini sudah mencecah RM11 juta di China.

“Ia juga filem pertama saya yang menggabungkan tiga negara dan berharap ia permulaan baik untuk menempa nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain Nadia, filem itu dibintangi Aom Sushar dari Thailand, Li Chuan (China) dan pelakon dari Malaysia iaitu Teddy Chin serta Alvin Chong.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.