Berita Terkini
recent

Kemelut dunia artis

Semua gembira dengan Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu? Meriah dan penuh dengan sorakan apabila satu demi satu berita gembira diumumkan.

Walaupun tiada bajet khusus untuk industri kreatif, ramai wanita yang tersenyum dan menyifatkan ia sebagai bajet kasih sayang apabila cuti bersalin ditambah ke 90 hari (sebelum ini 60 hari) dan bayi yang lahir mulai 1 Januari 2018 mendapat bantuan saham RM200.

Kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Shah Alam serta tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor pula dimansuhkan mulai 1 Januari nanti, membuatkan makin ramai yang bersorak gembira. Ditambah pula pemberian bonus untuk kakitangan awam.

Sudah tentu berita keesokan harinya penuh dengan berita gembira Bajet 2018 hingga lupa seketika kisah panas dunia artis yang menjadi perhatian sepanjang minggu lalu.

Memang banyak pula kisah peribadi artis akhir-akhir ini dan dipaparkan dalam ruangan ini sebagai mengimbas semula kisah panas dunia artis.

Antaranya perceraian penyanyi Hafiz Hamidun dan pengusaha kosmetik, Joy Revfa, kisah cinta tiga segi Shahir Zawawi dan Erra Fazira serta kisah Emma Maembong dan Kamal Adli.

Mungkin ada yang kata mereka rasa mual dan muak dengan cerita artis yang dijaja media, malah ada memperlekehkan wartawan hiburan yang disifatkan hanya berminat dengan cerita sensasi serta disifatkan tidak membangun minda.

Mungkin mereka ini bercakap ikut sedap mulut kerana hakikat sebenar, mereka bukan muak tapi sentiasa ingin tahu kisah artis berbanding berita mengenai ekonomi negara, politik atau sukan.

Mulut kata benci tapi hati sebenarnya suka. Itulah yang sebenarnya tetapi itu semua bagus kerana makin benci mereka makin ingin tahu.

Drama panjang Hafiz-Joy berakhir Rabu lalu apabila mereka disahkan bercerai talak satu selepas Hafiz, 33, melafazkan cerai terhadap Joy atau Siti Arifah Mohd Amin, 30, di hadapan Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shukran Yusof.

Agak lama juga kisah rumah tangga mereka menjadi tatapan umum tetapi selepas perceraian ini, tentu sepi seketika nama mereka.

Berbeza dengan drama Shahir-Erra. Selepas Shahir mengatakan akan meneruskan niatnya untuk melamar Erra awal tahun depan, kisah mereka ini masih tergantung hingga perlu ada musim kedua tahun depan.

Benarkan Shahir akan mengotakan janjinya dan benar-benar ikhlas mahu menjadikan Erra sebagai suri hidupnya atau ia sekadar janji untuk menyelamatkan dirinya ketika ini?

Sebagaimana kata Shahir Ahad lalu bahawa kontroversi melanda dirinya tidak menjejaskan hasratnya kerana dia masih Shahir yang dulu.

Bagi Shahir, 29, gosip yang mengaitkannya dengan Mona atau Mona Syamimi Mohd Samsudin sebagai asam garam dunia seni. Malah, Shahir akui ini bukan kali pertama dia berdepan dengan gosip begini.

Kalau begitu baguslah. Tapi ada mengatakan kontroversi ini membuatkan Shahir terpaksa membuat kenyataan selamat untuk menutup perbuatannya kerana ia dilihat boleh menjejaskan nama dan kerjaya seninya.

Sebelum ini, hubungan mereka menjadi teka-teki kerana Shahir tidak pernah membuka mulut dan bercakap secara terbuka mengenai hubungannya dengan Erra. Tiba-tiba apabila timbul pihak ketiga yang mengaku rapat dengan Shahir, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mula goyah.

Sebagai wanita, agak bersimpati dengan nasib Erra. Selama ini Erra bersabar kerana sedar batas dirinya sebagai wanita yang tidak perlu terlalu bercakap mengenai hubungannya dengan Shahir.

Kata putus sudah tentu daripada pihak lelaki untuk memulakan langkah hingga ada yang melihat hubungan Erra-Shahir seperti tiada arah. Tapi tiba-tiba Shahir mencanangkan mahu melamar Erra. Bukankah itu agak pelik?

Tapi jika benar Shahir ikhlas untuk menjadikan Erra suri hidupnya, baguslah. Kita tunggu musim baru drama mereka tahun depan.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.