Berita Terkini
recent

Keberanian Arjin Uppal

SELEPAS tampil dengan filem Kerat 14, Darah Panas dan Radhi Rudy Bin Dadu, pengarah muda berbakat besar, Arjin Uppal mempertaruhkan filem terbaru arahannya, I’m Not A Terrorist (Saya Bukan Pengganas).

Istimewanya, filem keempatnya kali ini menyaksikan gandingan pelakon tempatan Afiq Muiz dan Chacha Maembong bersama bintang terkenal Bollywood, Gulshan Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM7 juta ini menjalani penggambaran 90 peratus di wilayah bergolak, Kashmir, India dan bakinya di sekitar Lembah Klang.

I'm Not A Terrorist membawa penonton melayari kisah Ummar, anak kelahiran Kashmir yang telah dihantar oleh ibunya untuk tinggal bersama makciknya di Malaysia.

Di sini, dia telah menyambung pengajian di sebuah universiti dan jatuh cinta dengan seorang pelajar wanita bernama Dayana, anak kepada seorang tokoh perniagaan.

Ketika hari konvokesyennya, makcik Ummar menasihati agar Ummar pulang menziarahi ibunya di Kashmir, apatah lagi ibunya kini kurang sihat.

Dayana yang pada awalnya menawarkan diri untuk mengikuti Ummar telah dihalang oleh kekasihnya itu. Namun tanpa pengetahuan Ummar, Dayana akhirnya mengikuti Ummar ke Kashmir.

Bagaimana halangan Ummar sebenarnya demi memastikan keselamatan Dayana dan kisah lama keluarganya tidak terbongkar.


Penulis yang berpeluang menyaksikan filem tersebut baru-baru ini melihat filem ini sebagai satu percubaan berani Arjin.

Namun dengan kos yang telah dilaburkan, ia agak berbaloi dengan lokasi yang cukup cantik yang secara tidak langsung memberi satu sinematografi yang segar buat penonton.

Sekali menonton, anda pasti jatuh cinta dengan keindahan Kashmir, biarpun tidak dipotretkan secara keseluruhannya.

Dari segi lakonan, tidak ada yang perlu penulis ulaskan mengenai lakonan bintang Bollywood. Bahkan Afiq dan Chacha juga tampil tidak kurang hebatnya dan tampak seperti biasa bergandingan dengan Gulshan, Farida serta Rahul.

Namun, pada pandangan penulis, jika diberi lagi ruang dan peluang buat Arjin, dia pasti mampu menghasilkan sebuah filem yang lebih wow.

Tapi untuk filem ini, rasanya penonton perlu memberi peluang kepada Arjin dan menonton filem ini di pawagam kerana I'm Not A Terrorist masih ada keistimewaannya tersendiri lebih-lebih lagi apabila menyaksikan Afiq berdialog dalam bahasa Hindi.

Jadi bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah Ummar dan siapakah dia sebenarnya? Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.