Berita Terkini
recent

Kalam suci panduan skrip

Menjadikan setiap yang tertulis dalam al-Quran sebagai garis panduan skrip, Da’i Hakim atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hakim Othman diangkat sebagai juara program realiti Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin.

Program realiti yang mencari pendakwah itu juga menyaksikan peserta berusia 22 tahun itu merangkul hadiah utama berupa wang tunai RM50,000 berserta trofi dan pakej umrah untuk dua orang.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi yang memberikan kemenangan ini. Sepanjang persembahan dalam program ini, saya merujuk al-Quran sebagai skrip,” katanya.

Menurut peserta dari Sungai Besar, Selangor ini, dua lagi peserta lain iaitu Da’i Afizah dan Da’i Fahmi yang berentap di pentas akhir ada kekuatan masing-masing.

“Afiqah dan Fahmi masing-masing ada kekuatan yang memungkinkan mereka bergelar juara. Apa yang boleh saya katakan, cabaran pada pentas akhir ini memang sengit.

“Saya sendiri tidak menyimpan keyakinan untuk bergelar juara lebih-lebih lagi apabila saya pernah menjadi peserta ‘bottom 3’ sebanyak dua kali,” katanya.

Ditanya mengenai arah tujunya selepas ini, Hakim ada jawapannya.

“Apabila sudah bergelar Da’i, orang luar sudah tak pandang sama ada kita masih muda mahu pun masih belajar. Yang mereka tahu, kita ada ilmu agama.

“Kerana itu, saya perlu sentiasa bersedia dengan ilmu dan kalau ditanya, saya ada jawapan untuk diberikan bagi setiap pertanyaan,” katanya.

Afiqah atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mahmud dan Fahmi atau nama sebenarnya Muhammad Fahmi Zulkifly terpaksa berpuas hati masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi di samping pakej Pelayaran Penyucian Jiwa.

Da’i Aiman yang mengakhiri perjalanannya ke peringkat separuh akhir pada minggu sebelumnya dipilih sebagai Da’i Pilihan Almas dan membawa pulang pakej Pelayaran Penyucian Jiwa.

Da’i Pendakwah Nusantara musim ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid, manakala Murabbi pula terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah.

Juri tetap terdiri daripada Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Sistem penjurian masih mengekalkan konsep sama iaitu 70 peratus daripada juri tetap, 20 peratus daripada Murabbi dan 10 peratus lagi daripada juri awam.

Program ini dihoskan Datuk Rosyam Nor selaku pengacara utama bersama Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama.

Pada pentas akhir itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan Black dan Rabbani.

Da’i musim kelima ini dibawakan secara eksklusif oleh produk Almas Beauty & Health Sdn Bhd selaku penaja utama dan Siti Khadijah selaku penaja bersama.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.