Berita Terkini
recent

‘Kak Lina Pom Pom’ Harap Peserta GV4 Raih Perhatian

Meski tidak berada di posisi sebagai antara peserta akhir program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) lalu, namun Elly Mazlein atau lebih sinonim disapa Kak Lina Pom Pom dalam kalangan peminat tidak menafikan, penglibatannya menerusi rancangan realiti tersebut memberi 1,001 rezeki terpijak buat dirinya.

Apatah lagi, statusnya sebagai ibu tunggal kepada Putri Sara Sefhia Azmi turut menjadi dorongan buat wanita berusia 36 tahun ini untuk terus mengatur langkah jitu dalam seni. Sehingga kini, fenomena ‘Kak Lina Pom Pom’ masih lagi setia meniti di bibir peminat setianya.

Berkongsi kegembiraan apabila GV terbaru dilancarkan baru-baru ini, penyanyi yang kini popular menerusi lagu Jeritan Hati itu turut menyambut baik rakan penyanyi seangkatan yang kembali demi memberi lebih ‘warna’ dalam industri.

Elly Mazlein turut berharap yang terbaik untuk semua peserta GV4 tahun ini demi meraih kembali perhatian pencinta seni tanah air.

“Rasanya saya sering berkongsi hal ini. GV3 lalu benar-benar kembali membuka pintu rezeki saya dalam kerjaya. Alhamdulillah, nama Elly Mazlein kembali menjadi sebutan. Sehingga ke hari ini, tuah begitu menyebelahi dan syukurlah, saya tidak menang tangan dengan pelbagai aktiviti,” katanya yang mahu peminat melihat dari sudut positif.

Kongsi Elly, tahun ini adalah tahun terbaik mereka sekeluarga, tambahan pula dilantik sebagai duta jenama penjagaan diri, Lentik Dara.

“Saya dilantik selama enam bulan. Kiranya ini tempoh percubaan. Sebelum setuju, saya dah cuba dan Alhamdulillah, efeknya begitu baik, khasnya dari segi menguruskan badan. Inilah yang dinamakan rezeki anak dan sebagai ibu, saya hanya tumpang tuahnya saja,” katanya kepada Kakigosip sejurus selesai majlis pelantikannya di Flora Terrace, Ampang, baru-baru ini.

Elly yang sebelum ini popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ternyata bangga kerana berat badannya turun lebih tiga kilogram dalam tempoh sebulan. “Bagaimanapun, ia perlulah selari dengan pengambilan menu sihat,” kongsi Elly yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama episod, Villa Ghazara sebanyak 40 episod bagi slot Samarinda TV3.

Bintang berasal Slim River, Perak ini tidak mahu memikirkan soal penat atau putus asa. Kerana baginya, rezeki yang dikurniakan adalah satu hikmah tidak ternilai daripada fasa hitam yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Memanglah penat, tapi saya tak mahu jadikan itu sebagai alasan untuk tidak bekerja. Alhamdulillah kerana sehingga ke hari ini, saya tidak menang tangan melakukan pelbagai aktiviti. Pada masa sama, saya juga perlu beri fokus pada anak. Boleh juga dikatakan, bila aktif bekerja, setidaknya ia mampu mengisi rasa sunyi.

“Syukurlah saya masih mempunyai keluarga, kerjaya dan rakan-rakan sebagai penguat semangat. Terima kasih juga buat peminat yang sentiasa menyokong,” terang Elly yang turut memberitahu, dia juga baru sahaja menerima tawaran untuk membintangi sebuah lagi drama bersiri. Namun, dia belum memberi kata putus atas kekangan masa dan komitmen lain.

Kata Elly Mazlein, pada hujung tahun ini juga dia akan terlibat dalam program di TV3 dan Astro.
Bagaimanapun, penyanyi ini mengakui penatnya berbayar apabila dia masih sempat mengisi masa bercuti bersama anak tersayang dan itu adalah suatu perkara yang wajib dilakukan, setelah beberapa bulan fokus bekerja.

“Saya memang akan curi masa bercuti bersama kerana inilah waktu terbaik untuk kami meluang masa. Paling penting, biarlah kami cuti-cuti di dalam negara saja kerana rasanya, masih banyak destinasi percutian di Malaysia yang masih belum saya jejak.

“Bila sudah explore semua, barulah kami rancang untuk bercuti ke luar negara pula, Insya-ALLAH,” akhiri Elly optimis.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.