Berita Terkini
recent

K-Drama paling popular

Demam drama Korea atau istilah lebih dekat, K-Drama tidak pernah kebah sejak Winter Sonata mula menjadi fenomena pada 2002.

Selepas itu, muncullah puluhan dan kini mencecah ratusan judul K-Drama memasuki pasaran tempatan, sama ada di TV tempatan, DVD, VCD mahupun ditonton secara dalam talian.

Bling! minggu ini menyenaraikan 10 drama paling popular yang mendapat sambutan

hangat peminat K-Drama tempatan sejak kebelakangan ini.

1. Goblin

Walaupun ditayangkan Disember tahun lalu, drama ini berjaya menarik perhatian ramai dengan elemen romantik, mistik, drama dan komedi yang jarang ditonjolkan dalam kebanyakan kdrama lain.

Drama lakonan Gong Yoo, Kim Go-eun, Lee Dong-wook, Yoo In-na, Yook Sung-jae ini turut mencipta fenomena fesyen tersendiri apabila pakaian dipakai watak menjadi ikutan peminat fesyen.

Dek populariti dikecapi, pelakonnya mula menjadi duta produk antarabangsa. Malah muncul beberapa drama parodi tertentu yang mengambil satu dua babak popular untuk hiburan peminat.

2. Legend Of The Blue Sea

Drama ini cuba mengekori rapat Goblin tapi tak berjaya. Berkemungkinan kerana elemen disuntik hampir sama dengan Goblin, cuma bezanya ia dibarisi pelakon popular.

Malah ada peminat mendakwa penceritaan drama ini sedikit meleret dan membosankan. Namun, Legend Of The Blue Sea lakonan Lee Min-ho, Jun Ji-hyun dan Kal So-won tetap mempunyai tarikan sendiri, terutama dengan adanya Lee Min-ho yang dianggap antara pelakon Korea paling popular setakat ini.

3. My Secret Romance

Drama bergenre romantik ini mempunyai aura tersendiri tatkala bercerita kisah cinta dua insan berbeza. Walaupun hanya bersiaran sembilan episod ketika ditayangkan April lalu, ia meninggalkan kesan kepada peminatnya.

Peminat mendakwa My Secret Romance penuh dengan babak dan dialog romantik yang cukup indah. Sekali gus membuatkan penonton rasa tidak puas dengan lakonan diberikan Sung Hoon, Song Ji-eun, Kim Jae-young dan Jung Da-sol.

4. Descendants of the Sun

Drama ini sedikit berbeza kerana konsepnya yang bercerita dari sudut cinta anggota tentera dengan wanita biasa. Descendants of the Sun tidak ada watak lelaki kaya jatuh cinta dengan gadis miskin dan semua watak tidak cuba bersaing antara satu sama lain.

Percintaan dua watak juga lebih matang tanpa babitkan isu perkahwinan kontrak, rumah tangga atau cuba penuhi impian orang lain. Malah tidak ada babak watak lelaki ‘dipaksa’ mencium watak gadis.

Drama lakonan Song Joong-ki, Song Hye-kyo, Jin Goo dan Kim Ji-won ini ditayangkan akhir tahun lalu.

5. My Shy Boss

Drama yang bersiaran di 8TV ini mempunyai elemen romantik komedi mesra penonton. Dibarisi pelakon popular seperti Yeon Woo Jin dan Park Hye Soo, My Shy Boss mengisahkan hubungan antara pekerja dengan bos yang pemalu.

Elemen romantik mencuit hati dan dialog yang ‘catchy’ menjadi sebab drama ini mempunyai pengikut setia sepanjang bersiaran.

6. Chicago Typewriter

Menyuntik elemen mistik dan saspens yang agak menarik. Latar set, kostum, perwatakan dan premis drama membuatkan penonton terpegun pada setiap episod.

Lagu runut Chicago Typewriter juga sangat menarik dan sedap didengar. Manakala lakonan Yoo Ah-in, Im Soo-jung dan Go Kyung-pyo juga sangat bersahaja.

7. The Gentlemen of Wolgyesu Tailor Shop

Drama yang pernah bersiaran di Korea dan sedang ditayangkan di saluran 8TV ini mempunyai elemen agak unik. Ia menyuntik elemen kekeluargaan, drama, komedi dan romantik yang berkisar kehidupan watak utama.

Menarik lagi, ia dibarisi pelakon lelaki paling ramai setakat ini. Antaranya Lee Dong-gun, Jo Yoon-hee, Shin Goo, Cha In-pyo, Choi Won-young dan Hyun Woo.

Dengan penampilan penuh kelas dan bergaya, tidak hairanlah The Gentlemen of Wolgyesu Tailor Shop digilai peminat wanita tempatan.

8. Andante

Mengangkat kisah remaja yang melalui kehidupan baru selepas berpindah dari bandar besar ke kawasan pedalaman.

Dibintangi Kai, Baek Chul-min, Lee Ye-hyun dan Kim Jin-kyung, Andante mendapat reaksi positif daripada peminat, terutama peminat Kai, anggota kumpulan EXO.

Ucapan tahniah dan bang­ga membanjiri laman sosial Kai sejak mula bersiaran pada September lalu.

9. Saimdang

Tarikan utama ialah kembalinya pelakon yang pernah popular dengan Jewel In The Palace pada 2003, Lee Young Ae.

Kemunculan semulanya ke dunia drama tempatan selepas 14 tahun benar-benar menjadikan Saimdang popular pada episod pertama bersiaran.

Namun, disebabkan jalan cerita yang agak serius dan perlahan, rating drama ini mula menurun pada pertengahan musim.

10. Flower, I Am

Bersiaran di saluran TV9 dalam slot Chamsarang awal tahun, kdrama ini turut menjadi pilihan dek keserasian antara dua karakter utama.

Elemen cinta benci yang disuntik ke dalam hubungan dua karakter membuatkan penonton suka pada penceritaan romantik dan komedi mereka.

Lagu runutnya juga antara tarikan kenapa Flower, I Am berjaya mengikat penonton meminati penceritaannya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.