Berita Terkini
recent

Jihan Hanya Berehat Selepas Bersalin

PENGACARA Jihan Muse tidak mahu sekadar berehat sahaja di rumah sepanjang proses kehamilan.
Menurut Jihan, 34, dia akan terus bekerja selagi keadaan kesihatannya mengizinkan dan hanya akan berehat selepas kelahiran bayi sulungnya itu.

"Alhamdulillah, kandungan sudah masuk bulan keenam, tiada alahan dan saya sudah bersedia untuk bekerja semula.

"Ketika kandungan awal tiga bulan memang tak boleh nak buat apa, sebab alahan agak teruk, sampai terpaksa batalkan beberapa projek. Tapi sekarang sudah okay.

"Masuk bulan keempat baru saya mula bekerja dan rasanya cukuplah berehat. Tak nak lah duduk rumah kembangkan badan sahaja," katanya .

Jihan ditemui semasa pelancaran Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) , di Hotel Marriot Kuala Lumpur, pada Selasa.

Sementara itu, Jihan memaklumkan dia terpaksa merahsiakan kandungan pada awal kehamilan atas sebab-sebab tertentu.

Isteri kepada pelakon Ungku Hariz ini juga berkata dia menghidap penyakit apendiks yang memerlukan dia menjalani pembedahan kecil semasa bulan pertama kehamilan.

"Masa bulan pertama itu terlalu awal nak kongsi dengan peminat, bulan keempat barulah saya rasa sesuai untuk kongsi dengan orang ramai.

"Lagipun, ketika itu saya diserang penyakit apendiks dan kesihatan pun tak berapa baik. Tak mahulah orang ramai risau pula," katanya.

Selain mengacarakan ASK2017, Jihan bakal mengemudikan program Gegar Vaganza 4 bersama Nabil Ahmad.

Malah, dia tidak berasa terbeban menerima tugasan tersebut meskipun berbadan dua.
"Insya-Allah, tak ada masalah untuk saya mengacarakan ASK2017 dan Gegar Vaganza kerana ini saya kira projek terakhir saya sebelum berehat.

"Produksi pun faham keadaan saya, mereka beri layanan baik dan saya tak rasa letih. Cumanya saya perlu lebih berhati-hati, tak boleh lasak sangat," katanya.

Selain Jihan, Fahrin Ahmad dan Shuk Balas juga bakal mengacarakan malam kemuncak ASK2017.
Ia bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 November depan


www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.