Berita Terkini
recent

Jamal sedia disaman kerana guna gambar mirip Azmin

“Saya bersedia untuk menerima sebarang tindakan di atas apa yang saya lakukan,” kata Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Beliau berkata demikian berhubung tindakannya menggunakan gambar wajah mirip Menteri Besar Selangor, Datuk  Seri Mohamed Azmin Ali pada kotak aiskrim dalam kempen Jelajah Dapat Aiskrim Percuma (DAP) di Ampang Point, hari ini.

Jelas beliau, penggunaan imej tersebut adalah simbolik menunjukkan sikap sebenar Mohamed Azmin dalam isu penganjuran secara terbuka pesta arak di Selangor.


“Saya mengalu-alukan Mohamed Azmin saman saya dan ambil tindakan ke atas saya supaya kita boleh dedahkan gambar tersebut adakah ia gambar beliau,


“Rakan-rakan lain yang hendak minum arak kami tiada halangan. Saya tidak baling batu sembunyi tangan, ini adalah prinsip saya,” katanya.


Beliau juga mengulangi pendiriannya siri Jelajah DAP itu tidak akan dihentikan sehinggalah Mohamed Azmin membuat pendirian jelas dengan membatalkan dan tidak mempromosikan lagi pesta memabukkan itu.

“Kempen ini kami akan buat setiap hari di Selangor dan ia berterusan sehingga kami mendengar Azmin Ali dengan jelas pendiriannya tidak membenarkan pesta arak yang membawa kepada kemudaratan dalam kalangan anak-anak muda dalam negara kita ini,” katanya.

Katanya, selepas ini beliau akan membuat kempen DAP itu di Gombak yang juga kawasan menteri besar sendiri.

“Saya mungkin akan turun ke Gombak dan membawa tong-tong aiskrim ini ke kedai-kedai mamak dan sebagainya,” katanya.

Mohamed Azmin yang dilaporkan berkata, penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang di jadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan sekiranya menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara tersebut.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.