Berita Terkini
recent

Jadi tarikan baru dalam Teater Tradisional Jikey

JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis (JKKN Perlis) bersama Yayasan Hasanah mengadakan Pementasan Teater Tradisional Jikey Raja Gasi Gunung Singgora di Auditorium Kompleks JKKN Perlis pada 13 Oktober 2017 lalu.

Pementasan ini bertujuan memartabatkan kesenian tradisional Negeri Perlis melalui usaha memulihara, mengekalkan dan menyemarakkan kesenian tradisional yang hampir pupus serta melahirkan generasi pelapis dalam kalangan generasi muda sebagai pewaris seni budaya.

Teater Tradisional Jikey Raja Gasi Gunung Singgora arahan Siti Salwani Shaari iaitu aktivis teater yang bergiat aktif sejak 2002 dan dijayakan Kumpulan Perantisan Jikey Sri Kayang yang ditubuhkan di bawah Program Perantisan Negeri Perlis kelolaan JKKN Perlis.

Manakala pemuzik dilatih Mahmud Hashim atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Din iaitu seorang penggiat seni yang masih lagi aktif dan gigih memartabatkan kesenian Jikey, Hadrah dan Alu Bunyi di Perlis.

Jikey ialah salah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di Kedah dan Perlis sekitar 60-an. Ia juga popular di selatan Thailand yang dikenali sebagai Likey terutama di daerah Satun dan Phuket.

Di Perlis ia dikenali sebagai ‘Dike’. Persembahan Jikey terbahagi kepada dua bahagian iaitu pembukaan dan persembahan teater utama yang menjadi tunjang kepada keseluruhan teater tradisional ini.

Hampir 600 penonton memenuhi Auditorium Kompleks JKKN Perlis yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Datuk Abdul Jamil Saad dan isteri; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohamad Razy Mohamad Noh dan wakil Yayasan Hasanah, Yazman Yunana.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis, Rahmat Md Noh berkata, program ini mampu menyemai kecintaan terhadap Seni Teater Jikey dalam kalangan generasi muda.

“Barisan pelakon yang menjayakan pementasan ini terdiri daripada mereka yang berbakat besar dalam lakonan dan mahir bermain muzik tradisional.

“Mereka hasil pencarian bakat atau sesi uji bakat yang diadakan bagi mencari pelapis di kalangan generasi muda bagi menghidupkan kembali Teater Tradisional Jikey di Perlis,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.