Berita Terkini
recent

Isa taruh keyakinan

Menggunakan pentas pertandingan nyanyian realiti popular, Akademi Fantasia (AF) sebagai batu loncatan untuk membina kerjaya satu fenomena biasa dalam industri hiburan tanahair.

Tidak terkecuali, Mohammad Fara Aidid Ali Dad atau lebih dikenali sebagai Isa Khan yang mahu mencuba nasib bergelar penyanyi terkenal.

Bagaimanapun, selepas berakhirnya AF2016, Isa, 24, dilihat lebih cenderung menceburi dunia lakonan berbanding nyanyian.

Lantas, situasi ini membuatkan peminat menganggap dia lebih selesa berlakon dan melupakan cita-cita asalnya.

“Tak dinafikan peminat ingat saya dah berhenti menyanyi kerana asyik berlakon drama. Ikutkan saya cenderung menyanyi, tetapi apa boleh buat rezeki lebih terarah kepada lakonan.

“Untuk apa saya menolak rezeki apatah lagi mahu jadi artis yang versatil. Baik lakonan mahupun nyanyian, kedua-duanya tetap seni dan saya perlu melakukannya sepenuh hati,” katanya yang sudah membintangi pelbagai drama antaranya Mak Cun Pi Lombok dan Transit Terakhir.

Isa mengakui teruja apabila ditawarkan bernaung di bawah label Music Valley Malaysia (MVM) kerana impiannya untuk menghasilkan single dapat direalisasikan.

“Boleh dikatakan setahun juga saya tunggu peluang ini. Perasaan gembira sukar diungkap dengan kata-kata apabila Pengurus Besar MVM Rumhadi Rumnan menawarkan kesempatan ini.

“Alhamdulillah, saya kini tampil dengan single pertama berjudul Syurga Yang Sempurna ciptaan Room None dan lirik oleh saya sendiri,” katanya.

Isa percaya lagu berkonsep pop balada yang dirakamkan pada akhir Ogos lalu bakal membawa dimensi baru terhadap kariernya sebagai penyanyi.

“Ini bukti saya serius mahu jadi penyanyi. Lirik yang ditulis berdasarkan pengalaman dan perjalanan hidup saya. Syukur kerana MVM sudi mendengar pandangan saya mengenai konsep lagu.

“Mungkin ada yang kata vokal saya tidak menarik, tetapi MVM nampak sesuatu dalam diri saya dan sanggup memberikan peluang kedua selepas AF,” katanya.

Video muzik Syurga Yang Sempurna juga sudah dihasilkan pada awal September menampilkan pelakon Mimi Lana sebagai model.

“Latar cerita video muzik ini sangat menarik dan tragis. Saya yakin ia mampu menarik perhatian penonton apabila dimuat naik di YouTube kelak,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.