Berita Terkini
recent

Imbau nostalgia

Kerinduan terhadap lagu nostalgia Sweet Charity pasti terubat apabila pemain gitarnya, Rosli Mohalim bersama kumpulan barunya, Rosli Mohalim & Friends akan mengadakan Konsert Nostalgia Lagu-Lagu Sweet Charity di Arked MARA Kajang jam 9 malam esok.

Rosli, 63, berkata, sudah lima tahun dia bersama kumpulan itu yang dianggotai Awi (bass/penyanyi), Said Juragan (dram) dan Amer (penyanyi).

Rosli yang masih aktif bermain muzik mengadakan konsert itu dengan kerjasama Arked MARA Kajang dan ABMB Enterprise.

Menurut Rosli, banyak permintaan daripada peminat yang mahu mendengar semula lagu Sweet Charity yang sehingga kini masih diminati ramai, namun untuk melihat Sweet Charity yang dianggotai Datuk Ramli Sarip (penyanyi), Rahman Sarbani (dram) dan Ahmad Jaafar (keyboard) mengadakan konsert adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

“Sweet Charity tak mungkin bersatu kembali walaupun ramai yang bertanyakan perkara itu. Kami tidak pernah berbincang dan sekarang pun jarang berjumpa.

“Selepas masing-masing membawa haluan sendiri, sukar untuk kami bersatu semula apatah lagi masing-masing ada komitmen dengan keluarga dan kerjaya. Selain itu, mereka menetap di Singapura, hanya saya yang sudah mendapat taraf PR (Penduduk Tetap) di Malaysia dan tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Rosli berkata, bagi memenuhi permintaan peminat, Rosli Mohalim & Friends tampil mengadakan konsert ini.

Mereka pernah mengadakan persembahan di Singapura, tahun lalu.

“Dua kali kami mengadakan konsert di sana dan sambutannya amat bagus. Penonton yang datang bukan saja mereka yang sezaman dengan Sweet Charity, tetapi juga generasi muda yang turut meminati lagunya dan menyanyi bersama kami,” katanya.

Menurut Rosli, mereka ‘enjoy’ menonton persembahan mereka dan tidak kisah lagu nostalgia itu dinyanyikan penyanyi lain.

“Apa yang penting penyanyi itu dapat memberikan persembahan terbaik. Jadi, tidak menjadi persoalan siapakah yang menyanyikan lagu itu. Alhamdulillah kerana peminat asal Sweet Charity dapat menerima kemunculan kumpulan baru saya ini,” katanya.

Menurut Rosli, sudah hampir setahun mereka bekerjasama dengan Arked MARA Kajang dan usahawan yang berniaga di sana.

“Pusat perniagaan itu membuka ruang dan peluang kepada pemuzik serta usahawan menambah pendapatan mereka. Selepas ini, kami merancang mengadakan beberapa siri konsert lagi dan sedang dalam perbincangan. Jika ada yang sudi menganjur dan menaja konsert itu, kami sangat mengalu-alukan,” katanya yang turut menghasilkan buku biografi mengenai kerjaya seninya dari awal hingga sekarang.

Pada konsert itu nanti turut diadakan kuiz dan cabutan bertuah yang menyediakan hadiah utama iaitu gitar Fender tajaan Joe Savana dari Gamma Rock Studio.

Santai Corner pula menyediakan ruang untuk jualan produk di bawah ABMB termasuk cendera hati, kemeja-T dan buku biografi Rosli Mohalim.

Bayaran untuk menonton konsert berkenaan ialah RM30 seorang.

Rosli berkata, dia juga merancang menjemput anggota Sweet Charity seperti Rahman dan Ahmad Jaafar, tetapi ia bergantung kepada kelapangan mereka.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.