Berita Terkini
recent

Hazama angkat kisah semangat juang

HAZAMA kini muncul dengan single terbaru berjudul Aku Bukan Dewa. Lagu yang mulai dilancarkan sejak April lalu itu diakui berbeza daripada lagu-lagu dendangannya sebelum ini kerana selain mengangkat genre muzik progresif pop rock sebagai latar bunyi dominan, single tersebut turut menampilkan penyanyi dan rapper, Altimet.

Lirik nukilan Ad Samad sementara sentuhan muziknya pula dari Taja dan Hazama sendiri ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertaiment Sdn Bhd.



Mengakui teruja dengan single terbaru, Hazama yang sebelum sinonim menerusi lagu-lagu seperti Relakan Jiwa dan Penglipur Lara memberitahu, Aku Bukan Dewa merupakan sebuah naskhah istimewa yang cukup dekat dengan dirinya.


“Saya gembira kerana menerusi lagu ini, saya berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri. Pada masa sama, peluang merakam lagu bersama Alitmet juga menjadi satu kolaborasi menarik. Sesuai dengan lagu berkenaan, Ad Samad juga berjaya menghasilkan lirik bermakna, mempunyai maksud mendalam.


"Pada masa sama, kerjasama antara saya dan Taja dalam penghasilan muzik bersama rap kreatif Altimet melengkapkan nukilan lagu ini,” kata Hazama yang turut menyifatkan Aku Bukan Dewa adalah hadiah terbaik buat para peminat setianya.

Aku Bukan Dewa sangat istimewa

Sementara itu, Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 33, turut menambah, single terbaru ini juga begitu dekat dengan dirinya memandangkan Aku Bukan Dewa menceritakan perihal semangat juang penyanyi ini dalam industri muzik tempatan.

“Pelbagai ranjau terpaksa saya tempuh dari dahulu sehingga kini. Lalu Aku Bukan Dewa sangat istimewa kerana seolah-olah memberi gambaran akan penceritaan serta mood yang ingin saya sampaikan. Malah, konsep progresif pop rock juga berbeza dengan lagu balada nyanyian saya sebelum ini,” jelas Hazama yang turut mahu membawa peminat menyelami aliran muzik berbeza daripadanya.

Bagaimanapun, penyanyi ini tidak menafikan kesukaran Aku Bukan Dewa adalah untuk memenangi hati peminat yang selama ini sudah terbiasa dengan lagu-lagu pop balada yang lainnya.

“Sebagai penyanyi dan juga komposer, saya perlu tampil versatil, terus berkarya dalam industri untuk kekal relevan. Saya ingin terus menghiburkan peminat yang sentiasa setia berada di belakang. Saya berharap, peminat mampu menerima kelainan ini dengan hati terbuka dan semoga terhibur dengan lagu ini,” harap Hazama optimis.
Powered by Blogger.