Berita Terkini
recent

Hayati perjuangan pemimpin terdahulu

Kekemasan jalan cerita, dialog yang menepati konsep dan unsur penghormatan terhadap raja. Semuanya lengkap dan sempurna di dalam bangsawan Dewa Kencana arahan Kamarul AR yang menampilkan gabungan pelakon teater dan drama.

Sebagai orang lama yang kaya dengan pengalaman di pentas teater, bisa sentuhannya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Apa yang pasti, Kamarul menggunakan kelebihan yang ada padanya sebaik mungkin dengan memberikan persembahan terbaik sekali gus menghiburkan penonton yang hadir memenuhi Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini.

Gabungan pelakon lama dan baru mewujudkan persembahan menarik yang disertakan lakonan cemerlang.


Persiapan hampir dua bulan merangkumi aspek olahan skrip dan latihan ternyata berkesan bagi membolehkan peminat memahami cerita yang ditampilkan dalam siri ketiga program Semarak Bangsawan 2017 ini.

Kamarul pandai mengadunkan ciri-ciri keseronokan dan kekaguman sekali gus mengikat penonton untuk mengikuti perjalanan cerita dari awal sehingga akhir.


AKSI dramatik yang berjaya menimbulkan kekaguman penonton.
Apatah lagi, Kamarul adalah Presiden Pertubuhan Pencinta Teater Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (HIDAYAH) dan pastinya perlu menjadi contoh terbaik ahli gabungannya.

Kamarul berkata, dia bertuah dan bersyukur kerana berjaya memikul amanah untuk menampilkan satu bentuk persembahan bangsawan tulen yang mempunyai nilai tradisional.

“Naskhah Dewa Kencana adalah berat kerana berkisarkan keringat dan perjuangan pemimpin terdahulu yang membina tanah air dan negeri berpaksikan kehendak, sumpah dan harapan nenek moyang.

“Sebilah keris yang dicari, ‘keris pusaka’ sesuai menjadi satu perlambangan kepada perlembagaan dan kuasa. Setiap pelakon buat yang terbaik kerana mereka sangat hormat kepada karya penulis,” katanya.

Menurutnya, mungkin segelintir penonton melihat barisan pelakonnya sedikit ‘terkongkong’ kerana karya kali ini sememangnya menonjolkan bahasa berirama dan ada juga yang puitis.

“Pada saya ini adalah tuntutan konsep bangsawan sendiri. Saya lihat semua pelakon berjaya bawakan watak dengan baik dan ada keserasian.

“Ia termasuk kemunculan Datuk Jalaluddin Hassan dalam satu babak sebagai guru agama (Pendita Gunung) dan lakonannya sangat berkesan,” katanya.


BABAK pertarungan menarik dalam Dewa Kencana.
Selain mutu lakonan, Kamarul turut memuji semua kru produksi yang bertungkus-lumus memastikan kelicinan persembahan, momentum, tatahias, kostum, gerak dan silat, iringan muzik termasuk tasmat pada babak terakhir.

“Tak dinafikan ada beberapa kelemahan pada malam awal persembahan seperti pelakon utama tiba-tiba lupa dialog, tapi syukurlah semuanya dapat diatasi dan diperbaiki pada malam terakhir.

“Syabas saya ucapkan buat semua yang terbabit. Tak ketinggalan saya juga berterima kasih kepada penonton yang hadir beramai-ramai ke pementasan ini, tanda mereka meminati bangsawan,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.