Berita Terkini
recent

Hasrat berhijrah memang ada

Kumpulan dari Terengganu, Herow Band yang tampil dengan album mini berjudul Hanya Kami Saja, April lalu kini dalam dilema sama ada mahu terus menetap di negeri itu atau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari tapak dalam industri muzik.

Herow Band yang ditubuhkan pada 2012 dianggotai tiga beradik yang juga anak kepada bekas pemain bass Iklim, Mohalim iaitu Muhammad Syahidin Mohd Salim, 21, (penyanyi), Muhammad Salihin, 21, (bass) dan Muhammad Salam, 22, (gitar).

Dua lagi anggotanya ialah Mohammad Shahrieman Sulaiman, 21, (gitar) dan Muhammad Aiman Hakim Mohd Alazi, 17, (percussion).

Muhammad Salihin yang juga ketua kumpulan berkata, hasrat berhijrah ke Kuala Lumpur memang ada tetapi buat masa ini mereka perlu menetap di Kuala Terengganu.

“Memang untuk lebih berjaya kami perlu menetap di Kuala Lumpur kerana peluang di sana lebih baik dan memudahkan urusan promosi serta undangan pertunjukan pentas.

“Kami belum membuat keputusan itu kerana ada anggota yang terikat dengan pekerjaan, buat masa ini biarlah kami menetap di Kuala Terengganu dan berulang-alik ke Kuala Lumpur jika ada urusan,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan terhadap 500 unit album mereka yang dicetak dan dijual agak baik dan sebuah lagu berjaya memasuki carta beberapa stesen radio.

Album itu mengandungi empat lagu dan mereka mempertaruhkan lagu Hanya Kamu Saja.

Muhammad Salihin berkata, sejak album itu dilancarkan kumpulan itu kerap menerima undangan nyanyian.

“Alhamdulillah setakat ini sambutan terhadap album pertama itu di Terengganu memuaskan. Ramai juga yang bagi sokongan dan terus beri semangat terutama keluarga serta rakan seperjuangan,” katanya.

Menurutnya, kelahiran album itu memberi keyakinan kepada mereka untuk pergi lebih jauh dalam industri muzik tanah air.

“Memang kami mahu dikenali sebagaimana kumpulan popular lain, tetapi memerlukan lebih masa merana kami tinggal di Kuala Terengganu,” katanya.

Menurut Muhammad Salihin, mereka membawakan lagu genre pop, akustik dan balada. Mereka juga banyak menerima tunjuk ajar daripada Mohalim.

“Kami sering dijemput membuat persembahan di pantai timur khususnya Terengganu. Malah, kami juga tidak menolak membuat persembahan di seluruh negara jika berpeluang. Kami juga pernah tiga kali menjadi juara dalam persembahan busking di Terengganu pada 2014,” katanya.

Sementara itu, Mohalim berkata, tiga anaknya itu menurut jejak langkahnya memeriahkan industri muzik tempatan.

“Disebabkan Iklim sudah lama menyepi, saya mengambil inisiatif baru sebagai kesinambungan dalam industri seni tanah air.

“Saya mengambil masa empat tahun untuk menubuhkan kumpulan ini. Ketika mereka masih bersekolah, saya mengajar cara bermain gitar dan memberi tunjuk ajar supaya satu hari dapat menghasilkan kumpulan baru.

“Semoga Herow Band mampu pergi lebih jauh dan mendapat sambutan ramai,” katanya yang kini bekerja sebagai penggubah lagu di RTM Kuala Terengganu.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.