Berita Terkini
recent

Harapan besar buat single pertama: Kudien

PENGLUBATANNYA menerusi program realiti, 3 Juara musim pertama lalu menjadi peluang terbaik buat pemenang kategori Rock Mohamad Ariffuden Mohd Rafee atau nama komersialnya, Kudien untuk meneruskan kecintaannya terhadap dunia nyanyian.

Meski sudah melakar kejayaan, tidak bermakna anak bongsu daripada tiga beradik ini dapat mengatur laluan mudah, sebaliknya, sebagai anak seni yang baru bertatih, Kudien sendiri mengakui terpaksa bersusah-susah terlebih dahulu sebelum berjaya menempa tapak kukuh.




Pada masa sama, momen bermakna bersama bekas finalis lain seperti Salma Asis khususnya di 3 Juara lalu nyata banyak mengajar Kudien untuk lebih bersedia.


Kudien mengakui, dia masih mencari ruang terbaik untuk mempamerkan kebolehan diri.

“Semua sedia maklum, kehadiran penyanyi baru seangkatan saya cukup ramai sekali gus memberi warna lebih meriah dalam industri. Ada juga miliki bakat yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Masing-masing ada kelebihan dan pastinya, saya pun kenalah berusaha,” kata Kudien kepada Media Hiburan selepas ditemui ketika rakaman program The Stage Media Hiburan baru-baru ini.

Kongsinya lagi, perkembangan media sosial turut menjadi platform terbaik buat  pendatang baru untuk mempromosikan diri. Jadi, sebolehnya Kudien turut merancang melakukan perkara sama demi memastikan single sulungnya, Ruangan Gelap Gerhana mendapat tempat di hati pencinta muzik tempatan.

“Single pertama saya sudah pun dilancarkan sekitar tiga bulan lalu. Alhamdulillah, respons yang diterima agak baik tapi tak dinafikan, pendedahan untuk lagu tersebut masih belum menyeluruh.

Bagaimanapun, saya berusaha melakukan yang terbaik buat single sulung ini misalnya promosikannya di jaluran media sosial khasnya Facebook dan Instagram.


“Kalau jadi viral, lagi bagus sebab ramai yang akan sedar dengan kehadiran lagu ini,” luah Kudien.

Bertanya pada senior

Jelas Kudien, bukan tugas mudah buat orang baru sepertinya untuk terus dikenali bersama karya pertama. Jadi, dia perlu berusaha demi memastikan anganannya dapat direalisasi di samping melihat persaingan dari sudut positif.

 Bagi mendapatkan hala tuju yang betul, pemuda berusia 23 tahun ini juga tidak segan bertanya selok-belok industri sekali gus merangka strategi.

“Saya ada bertanya komposer lagu ini, Edry Hashim cara terbaik untuk push single ini pada tahap sepatutnya. Saya ada juga dapatkan nasihat dan tip daripada Syamel. Kata mereka, zaman sekarang adalah fasa teknologi dan kita perlu ikut trend.

“Sebab itulah saya kata, kini kita boleh lakukan promosi lagu atau karya sendiri menerusi platform media sosial sahaja,” kongsi Kudien yang turut berterima kasih kepada peminat yang mengikuti perkembangan seninya sejak 3 Juara lalu.


Rancang single kedua

Mengambil prinsip setiap usaha pasti menghasilkan impak positif, bintang kelahiran Johor ini sudah merancang merakam single kedua. Pun demikian, dia perlu melihat terlebih dahulu maklum balas terhadap Ruangan Gelap Gerhana bagi mengikuti genre muzik yang didahagakan pencinta muzik.

“Kalau nak diikutkan, trend sekarang, lagu balada 90-an yang menangkap jiwa. Sementara untuk single kedua, saya sudah ada sebuah lagu yang ditulis bersama rakan, Niza.

“Lagu berkonsepkan modern rock itu boleh dikatakan dekat dengan jiwa saya yang sudah sebati dengan muzik sedemikian. Bagaimanapun, saya tetap terbuka untuk merakam lagu genre berbeza bagi mencabar dan melihat sejauh mana kebolehan diri,” beritahu Kudien optimis.

Terdahulu, Ruangan Gelap Gerhana juga boleh boleh didengari menerusi YouTube dan sudah boleh didapati menerusi semua platform muzik digital.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.