Berita Terkini
recent

Haqiem Rusli impi beraksi di AJL32

PENYANYI remaja, Haqiem Rusli mengakui terharu dan bangga apabila dua  lagunya, iaitu Segalanya dan Tergantung Sepi layak bertanding di antara di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 32 pada saingan yang bermula 29 Oktober lalu.

Mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa gementar, penyanyi berusia 19 tahun itu bagaimanapun tidak mahu meletakkan harapan terlalu besar untuk lagu tersebut sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik demi kepuasan peminat dan juri profesional.

“Bila sudah terpilih pun saya dah gembira, apatah lagi ini pengalaman pertama. Sudah tentulah saya mengimpikan untuk membuat persembahan di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Masa kecil, kita hanya tengok penyanyi lain bertanding saja.

"Jadi sudah ada peluang, saya memang nak buat sehabis baik untuk merealisasi impian beraksi di AJL nanti Insya-ALLAH,” kata Haqiem penuh harapan.

Ditanya mengenai persaingannya bersama penyanyi muda seangkatan, bintang berasal Selangor ini mahu bersikap positif memandangkan lagu itu juga ada keistimewaan tersendiri.

“Selain rakan seangkatan, kita juga ada penyanyi senior yang sudah biasa beraksi di Muzik-Muzik dan AJL seperti Akim & The Majistret dan Dayang Nurfaizah. Keupayaan dan kredibiliti mereka tidak boleh dipertikaikan. Saya anggap itu sebagai saingan yang memberi lebih semangat,” jelasnya lagi kepada Media Hiburan sejurus pengumuman 30 lagu terpilih di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Haqiem turut berharap sokongan berterusan bagi memberi semangat untuk dia membawa lagu berkenaan dengan baik.

“Kedua-dua lagu itu mempunyai keistimewaan. Tapi kalau ditanya saya mana satu yang lebih dekat dengan diri, saya rasa lagu Tergantung Sepi lebih dekat kerana susunan muzik dan note lagu tersebut lebih tinggi berbanding Segalanya,” akui Haqiem yang turut merancang untuk melancarkan album solo tahun ini.

Sambung Haqiem, album tersebut bakal mengandungi enam lagu termasuk dua single terdahulu.

“Kalau ikutkan perancangan, saya mahu lancar album tersebut dalam tahun ini juga dan bulan depan, saya akan muncul dengan single ketiga berjudul Jatuh Bangun. Lagu itu saya cipta bersama Omar K dan ia berkisar mengenai perjalanan hidup saya sejak sekolah sehingga ini.

“Rentaknya agak rancak dan harap peminat dapat terima pembaharuan ini,” pinta Haqiem yang tidak mahu statik dengan rentak lagu sama semata-mata.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.