Berita Terkini
recent

Hanis mahu lasak

Pelakon jelita Tunku Hanis Tunku Sulaiman adalah seorang yang lasak dan gemar bersukan.

Jadi, apabila penganjur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Half Marathon 2017 mempelawanya menyertai larian itu, tentu sekali dia tidak menolaknya.

Larian itu akan diadakan di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 12 November ini bermula jam 6 pagi.

Menurut Hanis, 27, dia baru selesai menjalani penggambaran drama lapan episod berjudul Gempur Wira di Kuantan, Pahang yang berkisar mengenai dunia ketenteraan.

Dalam drama terbitan Teknik Jaya Global Sdn Bhd itu, dia memegang peranan sebagai Leftenan Kartini yang berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sesuai dengan tubuh­nya yang tinggi lampai dan berperwatakan lasak, Hanis begitu menjiwai wataknya itu.

Sebelum ke lokasi penggambaran, dia bersama pelakon lain seperti Niezam Zaidi, Hafiz Nolan, Derrick YiFan dan Siti Azar Ameerah Azmi menjalani latihan ketenteraan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Berlatih di ALK, saya terasa seperti menjadi tentera sebenar. Kami semua bangun awal pagi dan diberi latihan hingga ke petang. Memang meletihkan tetapi saya dapat melihat dan merasai kehidupan sebenar sebagai anggota tentera,” katanya.

Menurutnya, pihak ATM memberikan sepenuh kerjasama terhadap pembikinan drama itu dan dia seronok apabila diberi peluang beraksi dalam kapal milik TLDM.

“Kerjaya sebagai tentera amat menarik dan saya berharap menerusi apa yang dipaparkan dalam drama itu nanti akan mendatangkan minat kepada remaja untuk menyertai pasukan beruniform itu,” katanya.

Sehubungan itu apabila penganjur ATM Half Marathon menghubu­nginya untuk menyertai acara larian yang julung kali diadakan itu, Hanis bersemangat sekali untuk berlari bersama 11,000 peserta di mana 8,000 terdiri daripada anggota tentera dan selebihnya orang awam.

“Larian itu bukan saja bagus untuk kecergasan tubuh tetapi ia juga me­ngeratkan silaturahim di antara anggota tentera dan orang awam. Kedua-dua pihak perlu saling bekerjasama demi kesejahteraan negara.

“Aktiviti di antara tentera dan orang awam perlu kerap diadakan supaya masyarakat dapat memahami tugas tentera. Ia juga boleh membantu mengajak remaja memilih bidang ketenteraan sebagai kerjaya,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.