Berita Terkini
recent

Gambaran tugas, kehidupan tentera

Kes membabitkan lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa membunuh dua anggota pasukan itu sedikit sebanyak mencalar imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sehubungan itu, syarikat produksi Teknik Jaya Global Sdn Bhd mengambil inisiatif menerbitkan drama lapan episod bertema ketenteraan berjudul Gempur Wira sekali gus memberi gambaran sebenar tugas dan kehidupan anggota tentera.


Drama arahan Mohd Fairuz Loy dan skrip tulisan Eddie Mazlan itu akan ditayangkan di RTM dalam waktu terdekat ini.

Gempur Wira mengisahkan lima watak utama, Leftenan Aiman (Niezam Zaidi), Leftenan Dr Alisya (Aza Azmi), Leftenan Kartini (Tunku Anis Tunku Salman), Leftenan Badli (Hafiz Nolan) dan Leftenan Tony (Derrick YiFan) yang meneruskan pengajian mereka di UPNM.

Penerbit Eksekutifnya Abd Rashid Ahmad Dahalan atau Acio berkata, mereka mendapat kerjasama amat baik daripada ATM membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Kuantan, Pahang.

“Hampir keseluruhan penggambaran dilakukan di Kuantan dan ATM membenarkan kami menggunakan peralatan ketenteraan yang ada termasuk helikopter, kapal dan kereta perisai. Mereka juga menyediakan pegawai untuk memberi khidmat nasihat supaya apa saja babak membabitkan tentera mematuhi peraturan ketenteraan.

“Saya dan penerbit drama ini, Abd Wahab Ahmad mahu mengetengahkan drama ketenteraan supaya masyarakat mendapat gambaran sebenar mengenai tugas dan tanggungjawab tentera kepada negara. Mereka yang menyertai tentera diserapkan semangat juang, jati diri yang tinggi, sayangkan bangsa dan negara,” katanya.

Gempur Wira adalah drama pertama terbitan Acio yang sebelum ini banyak menimba pengalaman sebagai pengurus produksi.

Walaupun sudah bergelar penerbit, Acio tetap menguruskan segala keperluan produksi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Berurusan dengan ATM ada protokol tertentu dan saya lebih yakin melakukannya sendiri,” katanya.

Sebelum ke lokasi penggambaran, semua pelakon menjalani latihan ketenteraan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) iaitu organisasi yang menguruskan hal ketenteraan serta melatih Pegawai Kadet dan Palapes UPNM.

Sementara itu, Fairuz berkata, tawaran sebagai pengarah daripada Teknik Jaya Global itu adalah peluang yang dinantikannya selepas banyak mengarahkan drama cinta dan sebagainya.

“Saya dapat menimba pengalaman baru dalam dunia ketenteraan dan apabila bekerja dengan mereka, segala-galanya mesti betul dan mengikut peraturan termasuk cara berpakaian.

“Tidak boleh main buat saja. Kedudukan pangkat pada pakaian seragam kena betul, cara berjalan dan bercakap juga mesti betul.

“Watak sebagai angggota tentera amat dititikberatkan. Saya harap pembikinan drama ini dapat menarik penonton remaja supaya mereka mendapat gambaran sebenar mengenai dunia ketenteraan dan berminat berkhidmat kepada negara. Bagi saya, bidang ketenteraan sangat menarik.

“Selain itu, kita juga masukkan elemen cinta, persahabatan dan kekeluargaan. Kami juga memilih lagu tema yang rancak dan segar sesuai dengan cita rasa orang muda hari ini,” katanya.

Sinopsis

Gempur Wira berkisar kehidupan Aiman, Badli, Tony, Alisha dan Kartini yang menuntut di UPNM. Selepas tamat pengajian, ada yang berkhidmat dalam TDM, TLDM dan TUDM.

Mereka menyambung pengajian di universiti ketenteraan itu dengan tujuan tersendiri sama ada dengan hasrat mulia untuk berbakti kepada negara, untuk kesenangan diri dan ada yang terpaksa mengikut kehendak ibu bapa.

Aiman, seorang penuntut yang bijak tetapi suka ‘bermain-main’. Selepas beberapa insiden dan kemalangan membabitkan kereta ibunya, bapanya tidak membenarkan Aiman melanjutkan pelajaran di luar negara kerana dia tidak yakin Aiman akan memperoleh ijazah, tetapi hanya akan berfoya-foya dan membuang masa.

Lalu bapanya mencadangkan dia memasuki UPNM. Ini menimbul konflik antara dia dan bapanya. Pada mulanya Aiman tidak berminat dengan latihan ketenteraan namun dengan perlahan-lahan dia dapat menyesuaikan diri.

Manakala Badli pula memang berminat untuk berkhidmat sebagai pegawai tentera mengikut jejak abangnya, Badrul.

Bagaimanapun, Badli sentiasa tertekan kerana bapanya berharap dia mendapat keputusan cemerlang seperti abangnya.

Badli juga terpaksa bersaing dengan Aiman untuk muncul sebagai penuntut cemerlang dan mereka juga bersaing untuk menawan hati Alisha, pelajar jurusan perubatan di UPNM.

Tony Leung pula seorang pelajar yang bersemangat tinggi dan tidak sabar berkhidmat untuk negara. Pada mulanya ibu Tony tidak menggalakkan dia menjadi tentera kerana bimbangkan keselamatannya, tetapi apabila melihatkan kesungguhannya, ibunya mengalah kerana itulah impian sejak kecil.

Sementara itu, Kartini beberapa kali mahu berhenti daripada pengajiannya kerana dia tidak tahan dengan kekerasan dan kelasakan dalam latihan. Aiman dan Tony banyak membantu dan mendorongnya meneruskan pengajian.

Gempur Wira turut menyelitkan rencah kehidupan seperti suka duka, alam percintaan, kekeluargaan, persahabatan, kegagalan, dedikasi dan semangat.

Apa yang mereka lalui dan hadapi memberi kekuatan baru kepada kelima-lima watak itu menjadi manusia yang lebik baik.

Drama lapan episod itu juga memaparkan tugas dan peranan ATM yang bertanggungjawab melindungi kedaulatan, integriti dan kepentingan negara.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.