Berita Terkini
recent

Famili beri sokongan padu

Bintang filem The Kingsman: The Golden Circle, Taron Egerton bertuah kerana karier seninya mendapat sokongan padu keluarganya.

Malah, pelakon Welsh itu memberitahu portal People keluarganya turut mengumpul wang bagi membantu membiayai bayaran menghadiri sesi uji bakat kemasukan ke sekolah seni.

“Saya bukan berasal daripada keluarga berada, jadi mereka tidak pernah menyuruh mencari karier bergaji besar seperti peguam.

“Keluarga tidak pernah menyangka saya boleh kaya. Mereka mengalakkan saya menceburi apa sahaja bidang yang boleh membahagiakan diri dan rasa sangat bersyukur mendapat sokongan sedemikian,” katanya.

Menurut jejaka tampan berusia 27 tahun ini, keluarga antara sebab utama dia nekad belajar di sekolah seni berprestij Royal Academy of Dramatic Art (RADA) di London.

“Ibu sangat teruja, malah anggota keluarga lain menghulurkan 40 hingga 50 pound setiap seorang kepada saya untuk menghadiri sesi uji bakat.

“Mereka turut membantu mencari penginapan di London. Saya bermalam di rumah rakan.

“Akhirnya, saya jumpa tempat tinggal berhampiran sekolah. Saya bertuah kerana berpeluang menghadiri sesi uji bakat di beberapa lokasi lain dan ia pencapaian terbaik saya dan keluarga,” katanya.

Selepas enam tahun mencipta nama, Egerton membalas jasa keluarga tercinta dengan membelikan kediaman untuk ibunya tahun lalu.

Selepas The Kingsman: The Golden Circle, Egerton bakal menjayakan watak adiwira Robin Hood yang dijangka menemui penonton September tahun depan.

Egerton dalam temu bual bersama ComicBook.com menjelaskan latar belakang watak itu sama dengan Robin Hood yang dilakonkan Kevin Costner dalam Robin Hood: Prince of Thieves pada 1991.

“Robin Hood kali ini ialah anggota tentera yang bertugas di Syria. Dia sangat mementingkan diri namun disanjung sebagai hero,” katanya.

Dia turut mendedahkan pelakon Jamie Foxx bakal melakonkan watak Little John manakala Ben Mendelsohn sebagai ketua polis Nottingham.

“Filem ini menampilkan barisan bintang yang bukan sahaja berbakat dalam lakonan, tetapi turut pandai menggeletek hati penonton,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.