Berita Terkini
recent

Esma Daniel laris model iklan TV

KETAMPANAN wajah pelakon terkenal, Esma Daniel, 48, sering menarik perhatian ramai, malah kerana wajah itu jugalah dia mendapat tawaran untuk bergelar bintang peragaan dan meninggalkan kerjaya asalnya sebagai pekerja hotel sekitar 1980-an.

Apatah lagi selepas menjuarai pertandingan Hero Remaja edisi pertama (1990/91) anjuran majalah remaja, Karangkraf, peluangnya dalam bidang peragaan semakin meluas sehingga menjadi pilihan pelbagai jenama popular ketika itu.




Biarpun tidak pernah merancang untuk bekerja dalam bidang seni, Esma mengambil peluang yang datang itu untuk menimba pengalaman, selain sebagai pendapatan untuk menyara kehidupannya ketika itu.


“Pada waktu itu, iklan komersial menjadi  trend yang begitu popular di kaca TV di mana pelbagai jenama popular antarabangsa menghasilkan iklan mereka sendiri untuk tujuan promosi dengan menggunakan model tempatan. 


“Jadi memang ramai model komersial diperlukan ketika itu dengan bayaran yang cukup lumayan sehingga ia mampu dijadikan kerjaya tetap.

“Model lelaki selalunya menjadi tarikan untuk iklan rokok dan wanita pula pada ketika itu begitu sinonim dengan iklan syampu pelbagai jenama,” katanya.

Menurut Esma, iklan motosikal Suzuki Best menjadi iklan komersial pertama yang melibatkan dirinya, selain menjadi model lelaki pertama yang tampil dalam produk penjagaan diri jenama Dashing dan Impulse.

Antara iklan komersial lain yang turut menampilkan wajah Esma mewakili jenama mereka ialah Salem, Panasonic, Gardenia, Dutch Lady, Castrol, Johnson n Johnson dan banyak lagi.

“Pada mulanya takut juga nak tinggalkan kerja tetap dan buat komersial sebagai kerjaya utama, tetapi apabila saya melihat tawaran ketika itu datang secara berterusan dengan bayaran yang boleh disifatkan sebagai lumayan, saya memberanikan diri.

“Saya tidak ingat berapa bayaran pertama yang diterima, namun apa yang boleh saya katakan hasil pendapatan ketika itu membolehkan saya membeli sebuah motor berkuasa tinggi dengan bayaran tunai.

“Faktor bayaran yang tinggi mungkin menjadi antara sebab kenapa ramai orang nak jadi model komersial TV ketika itu, termasuklah saya,” akuinya yang turut menjayakan iklan di negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Azhar Sulaiman bawa ke dunia lakonan

Meskipun populariti sering dikaitkan dengan artis, namun kata Esma, pada era 90an model komersial TV turut menerima tempias apabila kehadiran mereka turut mendapat perhatian peminat.

“Biarpun slot iklan hanyalah dalam seminit dua, tetapi kekerapan kami muncul di kaca TV sudah cukup membuatkan orang di luar sana mengenali dan mengingati wajah kami.

“Impak daripada itu, kami turut mendapat liputan di majalah selain mempunyai peminat di luar sehinggakan sehingga sering diserbu apabila berada di tempat terbuka.

“Pernah beberapa kali kami diserbu peminat hanya kerana mahu bergambar walaupun ketika itu kami hanyalah model iklan dan bukan artis,” imbasnya sambil ketawa.

Antara rakan seangkatan Esma yang turut sama mencipta nama ketika itu adalah Badrul Muhayat dan Azhar Sulaiman selaian beberapa lagi nama popular yang turut  bergiat aktif dalam bidang komersial ini.

“Saya tidak kisah tentang persaingan kerana kebanyakan yang terlibat adalah kawan-kawan juga, cuma kita kena usaha lebih dan rajin pergi uji bakat untuk mencari peluang walaupun sudah dikenali ramai.

“Ada orang malu nak pergi uji bakat bila dah popular, tetapi saya tidak pernah merasakan begitu kerana uji bakat bukan untuk merendahkan bakat seseorang, tetapi bagi memudahkan pihak terbabit mencari bakat yang sesuai dengan projek yang mereka sedang kerjakan,” tegasnya.

Menyentuh tentang dunia lakonan, Esma mula bergelar pelakon apabila rakan baiknya, Azhar Sulaiman, mencadangkan namanya kepada penerbit filem Interlude (1992) yang kemudiannya menjadi filem pertama lakonannya.

“Saya harus berterima kasih pada Azhar kerana dialah yang mencadangkan nama saya kepada penerbit dan kalau tidak kerana dia, saya mungkin tidak berada di sini sebagai pelakon hari ini.

“Walaupun awalnya saya berlakon macam ‘kayu’, namun apabila mendapat pendedahan yang berterusan dan menimba pelbagai pengalaman, saya dapat memperbaiki tahap lakonan saya dari masa ke semasa,” ujarnya yang bakal muncul dalam filem KL Special Force.

Daripada hanya diberikan watak stereotaip sebagai playboy dan pelbagai watak antagonis, Esma kemudiannya mendapat peluang menjayakan watak-watak yang lebih besar seperti memainkan peranan sebagai mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir dalam teater Muzikal Tun Mahathir yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Malah terbaru, Esma juga bakal muncul sebagai Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah pementasan teater Bahara Emas pada hujung Oktober ini.

“Dulu bila model jadi pelakon, memang orang selalu cakap yang kami semua hanya jual muka sahaja berbanding bakat.

“Namun ia hanyalah sebuah anggapan apabila ramai pelakon yang asalnya bermula sebagai model akhirnya berjaya sebagai pelakon malah bakat mereka turut mendapat pengiktirafan di majlis anugerah utama dalam bidang seni,” katanya yang turut mendapat undangan sebagai cameo dalam filem.

Bergelar bapa kepada lapan orang anak, Esma mengakui mahu terus bergiat aktif dalam bidang lakonan selagi masih ada tawaran yang datang kepadanya.

“Kalau ada tawaran, apa salahnya saya terus aktif dalam bidang ini dan menjadikannya sebagai kerjaya tetap untuk menyara diri dan anak-anak.

“Alhamdulillah menerusi bidang seni, kehidupan yang saya lalui bersama anak-anak selama ini sangat baik sekali,” katanya yang kini berstatus duda.
Powered by Blogger.