Berita Terkini
recent

Enam filem percuma

Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) kembali lagi dengan menampilkan tayangan 23 filem hebat pelbagai genre dari Eropah khusus untuk penonton di sini.

Sejak penganjuran edisi pertama pada 2000, EUFF mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan, sekali gus salah-satu festival terbesar dianjurkan di negara ini.

Pelbagai genre filem menarik dari Eropah disajikan buat penonton tempatan membabitkan animasi, drama romantik, komedi, seram, pengembaraan, filem kanak-kanak dan dokumentari.

Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Mario Castillo Fernandez berkata, kepelbagaian budaya sentiasa menjadi fokus utama dalam projek filem Eropah.

“Selaras dengan perpaduan dalam kepelbagaian budaya adalah prinsip utama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang membabitkan banyak negara.

“Menerusi EUFF, kami berharap ia akan mempromosikan kepelbagaian budaya dalam menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa kerana ia peranan penting EU di peringkat global.

“Kepelbagaian budaya bukan untuk ditakuti, tetapi diselami. Ia mesej penting dan Malaysia juga mengambil pendekatan sama dengan dasar kesederhanaannya,” katanya.

Tahun ini EUFF menyaksikan lebih banyak penyertaan iaitu 23 filem. Ia membabitkan filem dari 17 negara Eropah dan kebanyakannya filem yang pernah memenangi anugerah berprestij.

Antaranya dokumentari dari Itali iaitu Fire at Sea memenangi Anugerah Golden Bear untuk kategori Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Berlin dan turut dicalonkan di Oscar.

Selain itu, filem animasi dari Switzerland, My Life as a Zucchini pula memenangi anugerah Filem Animasi Eropah dan filem Romania, Two Lottery Tickets pula memenangi kategori Filem Terbaik sempena Festival Filem Komedi Monte Carlo.

Sempena edisi ke-18 penganjuran EUFF ini, beberapa pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih di Lembah Klang akan memulakan tayangan perdana mulai 19 hingga 29 Oktober ini.

Selain itu, tayangan filem EUFF turut membabitkan pawagam GSC di Georgetown, Pulau Pinang (2 hingga 8 November); Kuching, Sarawak (16 hingga 22 November) dan Kota Kinabalu, Sabah (30 November hingga 6 Disember).

Lebih menarik, enam filem akan ditayangkan secara percuma iaitu Happy 140 (Sepanyol), Fire at Sea (Itali), Car Park (Hungary), Attenborough and the Giant Dinosaur (United Kingdom) dan In Line for Anne Frank (Belanda).

Kupon untuk tayangan percuma boleh didapati dengan melayari http://euff.com.my/ dan boleh ditebus di kaunter tiket GSC terpilih.

Sementara itu, harga tiket ditawarkan kepada penonton sempena tayangan EUFF ini hanya RM8 saja dan mula dijual Khamis ini kecuali filem The Happiest Day in the Life of Olli Maki.

Maklumat lanjut boleh layari www.gsc.com.my.
Powered by Blogger.