Berita Terkini
recent

Ed Sheeran mungkin teruskan konsert

Penyanyi Inggeris terkenal, Ed Sheeran berkemungkinan meneruskan konsert jelajahnya di stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 November ini.

Menurut Pengarah PR Worldwide, Anita Baskaran, setakat ini penyanyi Shape of You itu hanya mengumumkan penukaran tarikh konsert di Taipei, Osaka, Seoul, Tokyo dan Hong Kong di Instagram.

"Pihak Sheeran belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai konsert jelajahnya di Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Jakarta dan Mumbai.

"Buat masa ini, kami belum menerima perkembangan terbaru mengenai konsert jelajah Sheeran di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sheeran terpaksa membatalkan konsert jelajahnya di lima lokasi di Asia apabila cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di London, baru-baru ini.

Penyanyi berusia 26 tahun itu dilaporkan dilanggar sebuah kereta ketika mengayuh basikal di sekitar kota London.

Pemeriksaan doktor mengesahkan pergelangan tangan kanan Sheeran dan siku kirinya retak.

Dalam akaun Instagram miliknya, Sheeran berkata dia perlu melihat tahap proses penyembuhan kedua tangannya sebelum membuat keputusan untuk lokasi konsert seterusnya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.