Berita Terkini
recent

Diana Danielle rancak atur kerjaya seni

KEMENANGANNYA sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) baru-baru ini memberi impak besar buat pelakon cantik Diana Danielle.

Manakan tidak, selepas hampir dua tahun berehat daripada bidang lakonan kerana sibuk menguruskan anak dan rumah tangga, dia kini kembali aktif.




Tidak menyangka filem Hanyut yang dilakonkan ketika usia 18 tahun baru dinilai dan memperoleh pengiktirafan namun dia percaya semua itu satu hikmah yang membawanya kembali aktif dalam industri.


Diana yang mula dikenali menerusi filem Evolusi KL Drift (2008) berkongsi cerita, dia kini rancak merencana kerjaya seninya menerusi beberapa tawaran yang dirasakan sesuai.



Berbanding dahulu, isteri kepada pelakon Farid Kamil ini mengakui agak selektif dan hanya memilih tawaran sesuai dan berbaloi dengan komitmennya.

“Alhamdulillah banyak tawaran tapi saya perlu pilih untuk kepuasan diri. Jadi saya perlukan skrip yang bagus supaya ada semangat untuk keluar bekerja, tidak rasa bersalah tinggalkan anak-anak di rumah dan buat sesuatu yang dibanggakan,” ujarnya jujur.

Selain drama Raisha yang kini sedang hangat disiarkan di kaca TV, Diana juga baru selesai menjalani penggambaran drama Coffee Prince, adaptasi drama Korea berjudul sama arahan Michael Ang.

“Memang bukan senang menjayakan watak yang diadaptasi dari drama Korea yang sudah mempunyai pengikutnya sendiri kerana mesti ada perbandingan.

“Apa pun, peminat harus faham, kami berdepan pelbagai kekangan dari sudut budaya dan agama selain bajet yang jauh berbeza dengan apa yang ditampilkan dalam versi asal drama ini membuatkan banyak babak yang kita tukarkan mengikut kesesuaian," katanya.

Diana yang memegang watak Mariam atau Yoo Joo dalam versi asal teruja bekerjasama untuk pertama kali dengan Michael Ang.

Seronok tengok anak membesar

Selain lakonan, Diana juga tidak pernah meninggalkan dunia pengacaraan yang pernah diceburinya sebelum ini.

Dia kini sibuk menjalani penggambaran sebuah program travelog untuk saluran Discovery Channel dengan menjelajah ke seluruh negara dalam tempoh 20 hari mencari lokasi menarik untuk diketengahkan.

Bagi Diana, banyak lokasi mencabar kerana dia sendiri tidak pernah menjejakinya sebelum ini malah hanya mengetahui info selepas terlibat dalam program berkenaan.

Bagaimanapun, kata Diana, dia tidak bersendirian meredah cabaran tetapi turut berkongsi bersama selebriti jemputan dari luar negara seperti China, India, Australia dan lain-lain untuk menerokai keindahan alam semula jadi Malaysia.

Melihat kepada jadual kerjanya yang padat, Diana yang juga ibu kepada dua cahaya mata comel, Muhamad, 5, dan Aurora, setahun, mengakui perlu lebih bijak menguruskan masa bersama anak-anak.


Diana juga sering berkongsi aktivitinya bersama anak-anak menerusi media sosial untuk tatapan peminatnya yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka sekeluarga.

“Saya seronok melihat perkembangan anak-anak yang kini semakin membesar dan bijak dengan cara mereka. Keluarga saya dan Farid pun terhibur dengan keletah anak-anak kami.

“Muhamad dilihat begitu mewarisi kecenderungan bapanya yang suka aktiviti lasak yang didedahkan kepadanya sejak kecil lagi, sementara Aurora pula mungkin lebih kepada saya yang sukakan sesuatu yang cantik,” kongsinya lagi.

Mengakui kepentingan media sosial dalam kehidupan masyarakat hari ini, Diana bagaimanapun menegaskan tidak mahu terlalu obses kepada medium berkenaan kerana percaya setiap satu perkara itu akan mendatangkan keburukan jika disalah guna.

“Sebagaimana orang lain, saya juga  berkongsi perkembangan semasa baik dalam kerjaya mahupun keluarga di media sosial, tapi saya akan pastikan perkongsian itu tidak keterlaluan," katanya.

Menurut Diana, dia hanya berkongsi sesuatu yang perlu untuk pengetahuan peminat dan mampu memberikan manfaat secara bersama.

“Bagaimanapun saya tak nafikan, kadang-kala walaupun kita berkongsi sesuatu yang positif, ada juga pihak yang menerima dengan perspektif sebaliknya sehingga mencetuskan pelbagai anggap yang negatif.

“Jika berlaku situasi seperti itu, saya lebih suka mengambil pendekatan berdiam diri dan tidak berdebat dengan mereka kerana percaya ia akhirnya akan senyap begitu saja,” ujar Diana.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.