Berita Terkini
recent

'Dia' sarat cinta dan konflik

SETELAH melalui tempoh enam bulan penggambaran, akhirnya telenovela, Dia bakal menemui penonton di televisyen bermula 14 Oktober ini.

Telenovela 60 episod ini menggabungkan bakat hebat Indonesia dan Malaysia seperti Irwansyah, Janna Nick, Izara Aishah dan Adi Putra.




Menariknya, drama ini menyaksikan gandingan harmoni kru produksi dua negara membabitkan 20 hingga 30 peratus penggambaran drama bersiri ini dijalankan di Jakarta.


Di tanah air, drama ini diarahkan Eoon Shuhaini di bawah terbitan OrangeTree Production Sdn Bhd manakala di negara jiran pula, sutradara Omar Olly Alaydrus dari Limelight Pictures mengambil alih.


Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, drama ini memberi satu signifikan baru kerana menyaksikan kerjasama dua negara.

“Ini merupakan kali pertama TV3 berkolaborasi dengan syarikat produksi dari Indonesia untuk menghasilkan drama istimewa berjudul Dia. Sudah pastinya ramai peminat merindui lakonan hebat penyanyi Pencinta Wanita dari seberang Irwansyah, yang sudah lama tidak beraksi di kaca televisyen.

"Kisah cinta tiga segi yang mempertaruhkan nama besar seperti Janna Nick, Izara Aishah dan Adi Putra bukan sahaja dapat memenuhi cita rasa penonton, malahan kami yakin telenovela ini juga mampu membeli jiwa peminat drama Malaysia," ujarnya.

Sarat dengan kisah cinta dan konflik, drama bersiri ini akan bertemu penonton pada setiap  Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam selama satu jam.

Dia turut dibintangi pelakon hebat lain termasuk Zamarul Hisham, Aleza Shadan, adik Sandrinna Michelle Skornicki, Emma Maembong, Kevin Andrean, Billy Boedjanger, Cahya Kamila, Fazlina Ahmad Daud dan Farouk Hussain.

Dia berkisar tentang Adit (Irwansyah) yang telah dijodohkan dengan Emelda (Izara), walaupun Adit sebenarnya amat mencintai Aira (Janna). Oleh kerana patah hati, Aira membawa diri ke tempat lain dan bekerja sebagai penulis.

Adit berusaha menjaga dan memberi kasih sayang kepada Emelda dengan sepenuh hati. Namun, jodoh antara pasangan suami isteri ini tidak bertahan lama apabila Emelda meninggal dunia selepas melahirkan anak sulung yang diberi nama Icha Aulia (Sandrinna).

Pada masa yang sama, Adit harus berdepan ujian untuk merapatkan hubungan Icha dengan keluarga arwah isterinya. Konflik bertambah apabila Adit bertemu semula wanita yang pernah dicintainya sebelum dia membina rumah tangga bersama Emelda.

Bagaimanapun, Aira kini rapat dengan Zaid (Adi) yang telah lama mendambakan cinta Aira.

Pelbagai rintangan dan dugaan harus dilalui Adit. Adakah dia cukup tabah untuk mengharungi kesemua ujian yang menimpa hidupnya ini? Apakah kesudahannya?

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.