Berita Terkini
recent

Dendam ayah meruntun kalbu

Jika anda rindukan lakonan Jackie Chan, filem terbarunya The Foreigner adalah sangat berbaloi dan wajib tonton.

Mendapat sentuhan pengarah Martin Campbell, naskhah itu diangkat daripada novel The Chinaman karya Stephen Leather mengenai pembelaan seorang bapa terhadap kematian anaknya.



Menariknya, Jackie yang melakonkan watak Quan Ngoc Minh masih mengekalkan elemen lelaki handal bertarung digabungkan pula dengan kemahiran hebat sebagai bekas tentera.

Mungkin ramai mengandaikan filem ini bakal menyerlahkan sisi berbeza legenda Hong Kong itu.

Bagaimanapun, apabila menonton naskhah berkenaan pasti bersetuju dengan karakter yang dipertanggungjawabkan buatnya.

The Foreigner bukan cerita memfokuskan keganasan semata-mata. Pelbagai elemen penting yang disuntik dalam filem itu menjadikan ceritanya jauh lebih meyakinkan serta meruntun emosi.


KISAH politik kotor dan pembelotan menjadikan filem ini menarik.
Pembelaan tidak berkesudahan seorang bapa yang kehilangan satu-satunya ahli keluarga pun sudah begitu menarik.

Bagaimanapun, emosi penonton bakal bercampur-baur seiring perkembangan plotnya.

Apatah lagi apabila dalang pengeboman di kota London mula terungkai satu persatu. Ternyata yang perlu ditumpaskan adalah ketua kepada tindakan kejam itu.

Itu yang menggesa Quan untuk menuntut pembelaan kerana anaknya terkorban bukan disebabkan kemalangan. Sebaliknya ia dilakukan secara sengaja oleh individu yang cuma memikirkan kepentingan sendiri tanpa memikirkan nyawa orang awam.

Perkembangan watak Quan begitu mengagumkan mengambil kira ia sendiri dilakonkan Jackie. Mulanya terlihat seakan-akan sekadar lelaki biasa, siapa tahu kemahiran dirinya melangkaui jangkaan ramai.

Dari segi emosi dan ekspresi wajah saja, pelakon berkenaan jelas memberi keadilan kepada watak itu. Apabila dia mula menunjukkan taring sebenarnya dan mampu berjuang sendirian, plot bertambah lebih mengujakan.

Kesedihan dan penderitaan yang ditunjukkannya memang menusuk jiwa penonton serta tentu mahukan keadilan sebagaimana Quan terdesak menuntut pembelaan.


JACKIE melakonkan watak Quan yang dalam diam sangat mahir dalam perisikan dan bertempur.
Kemampuan pemilik sebuah restoran itu nyata terlalu dipandang remeh dan apabila dia memulakan misinya sendiri, pihak lain jelas mula goyah. Operasinya sentiasa mendahului gerak-geri mereka.

Bukan dia tidak cuba untuk membuat rundingan bahkan bertemu sendiri ahli politik Ireland iaitu Liam Hennessy lakonan Pierce Brosnan.

Hennessy yang menidakkan permintaan Quan jelas menghumban dirinya ke mulut seekor jerung. Kepentingan diri sendiri lebih diutamakan bahkan sanggup meletakkan risiko terhadap ahli keluarganya sendiri.

Walaupun cuba menafikan pembabitan dirinya secara tidak langsung dalam tindakan keganasan di London, dia tidak mampu membuang kisah silamnya yang pernah bergelumang dunia pengganas kejam.

Sebagaimana Jackie, Brosnan nyata memberikan aksi cemerlang sebagai warga Ireland. Loghatnya sangat mengagumkan dan menghidupkan lagi wataknya.


BROSNAN melakonkan watak Hennessy, seorang warga Ireland dengan cemerlang.
Kejahatannya begitu halus membuatkan penonton geram akan karakternya. Penuh dengan tarik tali, Hennessy tidak boleh dipercayai kerana dia sendiri ragu-ragu keputusannya.

Di situ tembok egonya bakal diranapkan Quan yang jauh lebih luar biasa kemahiran perisikan mahupun kekuatannya bertempur.

Mengambil latar belakang kota dan rumah ladang, ia membuatkan ketegangan lebih dirasa. Terutama buat Quan yang tidak biasa dengan landskap tempat Hennessy dan konconya cuba berlindung.

Yang pasti, putaran cerita dalam filem ini bakal membuatkan penonton terkedu kerana bukan saja menggambarkan politik kotor, tetapi banyak pembelotan lain berlaku.

Selain Jackie dan Pierce, turut membintangi adalah Charlie Murphy sebagai Maggie, Liu Tao (Keyi Lan), Orla Brady (Mary Hennessy), Katie Leung (Fan), Manolo Cardona (Pedro Lopez), Simon Kunz (Matthew Rice), Pippa Bennett-Warner (Marissa Levitt), Roberta Taylor (Mrs. Taylor) dan Dermot Crowley (McGrath).

The Foreigner mula ditayangkan di pawagam sejak 30 September lalu.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.